Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan rasional di sebalik keputusan kerajaan menggunakan penjimatan rasionalisasi subsidi untuk menurunkan harga telur sebanyak 3 sen.
Pada masa sama, Anwar hari ini berkata dia akan meneruskan cara lain untuk menggunakan semula simpanan yang boleh membantu meringankan beban orang ramai.
Jelasnya kajian mendapati telur paling banyak dimakan oleh keluarga Malaysia, terutamanya isi rumah berpendapatan rendah yang boleh mengambil kira-kira empat biji telur sehari.
"Oleh itu kita panggil syarikat-syarikat ini, bincang, berapa untung sebulan.
"Beritahu sekian tak boleh kurang sikit untung, bukan rugi, (minta) kurang sikit untung supaya kurangkan beban.
"Itulah saya umumkan semalam turun harga telur sebab telur ini paling banyak dimakan oleh rakyat rakyat di bawah," katanya ketika berucap pada majlis Korban Perdana di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah di Bukit Mertajam.
Malaysiakini telah mendapatkan rakaman ucapan perdana menteri itu.
Pada Isnin, perdana menteri mengumumkan harga runcit baru telur Gred A, B dan C masing-masing berharga 42 sen, 40 sen dan 38 sen, turun 3 sen setiap satu.
Kerajaan kini akan membelanjakan 10 sen untuk memberi subsidi bagi setiap telur, yang melibatkan perbelanjaan RM100 juta.
Peruntukan subsidi telur pada 2023 ialah RM927 juta.
Pengumuman harga telur Anwar itu dipersendakan sesetengah pihak, dengan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata dia menjangkakan langkah yang lebih mantap untuk menangani peningkatan kos sara hidup.
Kerajaan telah mula menyelaraskan subsidi bahan api bulan ini, bermula dengan diesel - dengan tujuan menyalurkan subsidi terus kepada mereka yang memerlukan melalui pemindahan tunai atau kad fleet untuk industri.
Walaupun kerajaan tidak menjangkakan kos meningkat akibat penarikan subsidi menyeluruh namun Anwar ketika berucap hari ini turut mengakui kos sara hidup masih memberi kesan kepada orang ramai.
"Sebab tu kita cari jalan, di mana boleh turun (harga)," kata perdana menteri lagi.