Kira-kira 1,000 pekerja berpendapatan rendah mengadakan piket secara aman di perkarangan Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di ibu negara hari ini bagi mendesak kerajaan melaksanakan gaji minima RM900 dan elaun sara hidup (COLA) RM300 sebulan.

Piket tersebut anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) disertai oleh ahli gabungan termasuk kira-kira 300 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube) yang menghantar peserta teramai menyertai piket hari ini.

Piket hari ini merupakan kali kedua diadakan di tempat sama selepas Kementerian Sumber Manusia menolak tuntutan mereka bulan lalu.

Piket bermula jam 5 petang dan jumlah mereka yang hadir semakin kira-kira sejam kemudian apabila kebanyakan pekerja mula keluar dari pejabat.

Naib Presiden MTUC, Abdullah Sani Abdul Hamid, ketika ditemui berkata, pihaknya akan terus mengadakan piket jika kerajaan masih enggan melaksanakan gaji minima tersebut.

"Kita akan berjuang habis-habisan supaya tuntutan tersebut dilaksanakan. Antara tindakan susulan ialah mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan.

"Saya mengingatkan kerajaan supaya jangan main-main dengan pekerja kerana kami mempunyai berjuta pekerja yang berpendapatan rendah," katanya.

Tuntutan tidak dilayan

Setiausaha Agung Nube, J Solomon pula berkata, kira-kira 15,000 kakitangan bank di Kuala Lumpur kurang dari RM1,000 sebulan.

Katanya, gaji kerani RM998 sebulan, manakala pekerja am seperti penghantar surat dan pemandu cuma RM661 sebulan.

"Kami memberi sokongan kepada piket ini supaya pihak berkuasa membuka mata tentang keperitan hidup pekerja bank, terutama dalam menghadapi kos hidup yang melambung di ibu negara.

"Nube sedih kerana bank mengaut untung beratus juta ringgit setahun tetapi tuntutan pekerja tidak dilayan," katanya.

Seorang pekerja bank di Ampang , Zuraini Ahmad berkata, beliau datang jam 5 petang dengan beberapa rakan untuk menyertai piket tersebut.

Katanya, pekerja bank berpendapatan rendah perlu dibela kerana tugasnya besar selain kos hidup yang semakin melambung.

Kira-kira 20 anggota polis berkawal bagi memastikan tidak ada kejadian yang tidak diingini dalam piket yang berakhir kira-kira jam 7 petang itu.