Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas berkata parti itu akan menerima apa juga keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai pengagihan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak pernah membantah Pak Lah (Abdullah). Jika beliau kata ini bukan lagi kerusi anda, saya akan terimanya," katanya kepada pemberita semalam.

Beliau juga sekali lagi mengulangi bahawa PPP akan kekal dalam Barisan Nasional (BN) kecuali mereka tidak lagi diperlukan dalam parti itu, demikian menurut laporan Bernama.

Sebelum itu, beliau mengedarkan `Jalur Gemilang' kepada pengguna jalanraya di lebuhraya bertingkat Ampang semalam, sempena sambutan ulangtahun ke-50 Merdeka.

Kayveas, penyandang kerusi Parlimen Taiping, berkata beliau telah menemui Perdana Menteri, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk menjelaskan berhubung laporan berita baru-baru ini mengenai "perang" antara PPP, Gerakan dan Umno bagi dua kawasan Parlimen di Perak, iaitu Taiping dan Bukit Gantang.

"Saya telah berjumpa dan menjelaskan situasi itu kepada beliau dan beliau faham dengan situasi itu. Beliau faham bahawa pertikaian tidak sepatutnya berlaku berhubung isu itu, beliau memahami saya," katanya.

Keputusan PM

Menurutnya, pengerusi BN itu akan membuat keputusan bijak berhubung isu itu berdasarkan cadangan Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, yang juga pengerusi BN negeri.

Kayveas, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata beliau telah menasihatkan semua ahli PPP supaya berhenti mengulas isu itu sehingga Abdullah membuat keputusannya.

"Kita tidak perlu dengar komen yang dibuat oleh orang dari parti lain yang baru menyertai politik selama lima tahun tetapi bercakap mengenai sejarah PPP. Jangan layan orang sebegini yang hanya mahu mencari publisiti murahan," katanya.

Ditanya mengenai apa yang PPP akan lakukan jika keputusan tidak memihak kepada parti itu, Kayveas berkata: "Kita akan ambil tindakan bila tiba masanya. Tetapi kita akan buat keputusan mengenai apa yang perlu dibuat."

Selepas berehat panjang daripada bertanding dalam pilihanraya umum berikutan masalah dalaman parti, PPP pada pilihanraya umum 2004 diberikan satu kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Pasir Bedamar di Teluk Intan tetapi tewas kepada DAP.

Gerakan pada 2004 keberatan untuk memberikan kerusi Parlimen Taiping, yang dimenanginya sejak 1969, kepada Kayveas, tetapi Umno berkorban dengan menyerahkan kerusi Parlimen Bukit Gantang kepada Gerakan sebagai ganti kepada kehilangan itu.