Kenyataan bekas menteri kanan MCA, Tan Sri Dr Ting Chew Peh yang menyentuh kepimpinan Umno, mempunyai kepentingan politik peribadi untuk mengukuhkan semula kedudukannya dalam MCA, kata Ketua Pemua Umno Johor, Datuk Razali Ibrahim.

Katanya, sebagai pemimpin besar dan berpengalaman bukan sahaja dalam MCA tetapi juga di peringkat kebangsaan, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu perlu faham apa yang diperkatakannya itu.

"Kalau orang muda bercakap sebegini rupa, kita boleh memberi nasihat tetapi Dr Ting merupakan orang lama yang tahu buruk baiknya.

"Saya tidak boleh terima kenyataan ini kerana sebagai pemimpin dalam komponen Barisan Nasional (BN), ia melanggar aspirasi BN itu sendiri," katanya.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Ting Jumaat lalu bahawa kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein, telah menjatuhkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Isnin lalu, Dr Ting berkata, kaum Cina tidak gembira dengan beberapa siri kenyatan yang dibuat oleh pemimpin Umno terbabit.

Dr Ting dilaporkan berkata: "Ini terutamanya Hishammuddin yang enggan bertemu dengan pertubuhan pendidikan Cina Dong Jiao Zong. Orang Cina fikir beliau sombong."

"Sentimen ini kembali kepada Perdana Menteri sebab beliau merupakan ketua (parti)," kata Dr Ting kepada malaysiakini kelmarin.

Umno, tonggak BN

Razali berkata, menjadi tanggungjawab pemimpin komponen BN untuk mengukuhkan kerajaan, tetapi kenyataan bekas menteri kabinet itu seolah-olah mahu melemahkan kerajaan sedia ada.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor, Syukur Idrus ketika dihubungi berkata, kenyataan Dr Ting itu bagaikan `menambah racun dalam BN' sedangkan pilihanraya umum semakin hampir.

Katanya, tindakan bekas menteri kabinet dari MCA juga seperti mahu memulakan ketegangan dalam BN ekoran daripada beberapa isu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"Sepatutnya Dr Ting memainkan peranan sebagai pendamai dalam BN dan bukannya cuba menimbulkan kemarahan orang Umno yang merupakan tonggak BN," katanya.

Syukur berkata, jika kenyataan para pemimpin Umno benar, pemimpin komponen termasuk MCA perlu menerimanya dan bukannya membuat kecaman yang bukan-bukan yang boleh menimbulkan kemarahan orang lain.

Katanya, apa yang perlu dilakukan oleh pemimpin komponen BN ialah memastikan masyarakat majmuk kekal seperti yang ada hari ini.

"Walaupun banyak dasar kerajaan mengutamakan orang Melayu tetapi ia juga memberi faedah kepada kaum lain termasuk DEB sendiri.

"Ramai orang Cina dan kaum yang lain juga mendapat faedah dari DEB kerana itulah perjuangan BN," katanya.