GLOBAL |  Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Wanita di Palestin, Maryse Guimond, berkata setiap individu yang ada di Gaza ketika ini mempunyai kisah ngeri sendiri.

"Setiap orang yang anda lihat di Gaza mempunyai kisah ngeri.

"Lebih 10,000 wanita terbunuh dan lebih 6,000 keluarga kehilangan ibu mereka,” katanya di X dan dipetik Agensi Berita Palestin (Wafa).

Sementara itu, Maryse (gambar atas) berkata sejuta wanita dan kanak-kanak perempuan bukan saja kehilangan tempat tinggal, bahkan maruah, ahli keluarga dan kenangan masing-masing.

"Anda boleh melihat kemusnahan di segenap tempat di Gaza," katanya selepas mengadakan lawatan terkini ke wilayah yang dilanda perang itu.

Semasa lawatannya ke Gaza, Maryse berkata dia menyaksikan banyak kawasan dipenuhi khemah-khemah pelarian, sementara yang lain ada yang memilih untuk tinggal di bangunan musnah sambil bergelut mendapatkan makanan dan air.

- Bernama/Wafa