PAS menyangkal dakwaan dibuat Fahmi Fadzil yang mendakwa wujud perbincangan di antara kedua-dua pihak yang mungkin membawa kepada kemasukan parti itu dalam kerajaan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kenyataan dibuat jurucakap kerajaan itu tidak lebih hanya untuk mengelirukan orang ramai khususnya pengundi di Sungai Bakap.

Katanya, ketika ini tidak banyak kejayaan yang boleh diganggakan Fahmi dan kerajaan, justeru menteri terbabit terpaksa mengambil pendekatan mengalih perhatian orang ramai daripada isu semasa kepada PAS dan PN.

"Fahmi nampaknya berasa perlu untuk mengalihkan perhatian orang ramai kepada PAS dan PN dengan isu yang tidak berbangkit sama sekali," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Isu 'kemasukan' PAS menyertai kerajaan hangat beberapa hari lalu apabila Fahmi mendakwa ada "banyak perbincangan" berlangsung di antara pihak kerajaan dan PAS akhir-akhir ini.

Dakwa menteri komunikasi itu, antara perbincangan tersebut melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan menteri-menteri besar yang mewakili kerajaan PN.

Bagaimanapun Fahmi tidak menjelaskan secara khusus jika perbincangan berkenaan turut melibatkan kemungkinan penyertaan PAS ke dalam kerajaan.

Kata Takiyuddin, Fahmi hanya berimaginasi ketika mendakwa PAS akan menyertai kerajaan hanya dengan berdasarkan "banyak perbincangan yang sedang berjalan".

Tambah ahli parlimen Kota Bharu itu, dakwaan Fahmi sekadar imaginasinya sendiri dan tiada kaitan dengan PAS atau realiti politik semasa.

Menurutnya rundingan yang dimaksudkan oleh Fahmi itu hanyalah proses biasa yang berkaitan urusan pentadbiran di antara kerajaan negeri pimpinan PN dan Putrajaya.

Sebagai jurucakap kerajaan, kata Takiyuddin, Fahmi seharusnya bersikap lebih telus dan tidak memainkan persepsi serta fitnah terhadap pesaing mereka, terutamanya PAS.

"Amat memalukan apabila seorang yang bertaraf menteri tidak dapat memahami antara politik dengan pentadbiran, apatah lagi konsep federalisme.

"Sebagai jurucakap kerajaan, Fahmi seharusnya bersikap lebih telus dan tidak terus syok sendiri dengan permainan persepsi serta fitnah untuk memburukkan pesaing politik Putrajaya, terutama PAS," katanya.

Menurut Takiyuddin, PAS tetap kekal untuk berada dalam gabungan PN, bukannya memilih untuk bersama dalam gabungan kerajaan yang didakwanya mudah mengubah janji dan pendirian mereka.

"Justeru ahli-ahli dan penyokong PN tidak harus terperangkap dengan politik dan publisiti murahan pemimpin PH ini," katanya lagi.