Pelesenan platform media sosial berbau kuku besi - LFL
Rancangan kerajaan untuk memastikan platform media sosial dilesenkan di Malaysia cenderung ke arah pemerintahan kuku besi, kata Lawyers for Liberty.
Pengarahnya Zaid Malek membuat perbandingan dengan Korea Utara, China dan PAP.
“Ini mengejutkan dan mengganggu semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras.
"Ia adalah satu lagi petunjuk jelas tentang usaha kerajaan Anwar (Ibrahim) untuk menyekat dan mengawal kebebasan bersuara, meneruskan trend semasa mengekang wacana awam dengan berselindung di sebalik usaha menghalang kandungan yang dikatakan berbahaya dan menyalahi undang-undang," kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.
Dia menjawab laporan bahawa rancangan kerajaan untuk memastikan platform media sosial dilesenkan di Malaysia adalah di peringkat akhir selepas menerima kelulusan daripada kabinet.
Ini dilaporkan termasuk mengenakan kod kandungan pada platform sedemikian yang juga akan mempunyai peraturan mengenai kandungan politik.
Mengulas lanjut, Zaid berkata kerajaan bertindak demi kepentingan diri dengan cuba mengekang suara-suara pengkritik.
Dia juga menuduh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan melanggar Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara.
“Ia telah mengingkari janjinya untuk memansuhkan undang-undang zalim yang mengehadkan kebebasan bersuara dengan teruk dan secara berterusan menggunakan undang-undang tersebut terhadap orang ramai.
"Adalah diketahui umum bahawa kerajaan secara sistematik menyekat video oleh pengkritik kerajaan di platform media sosial, termasuk beberapa portal berita dalam talian. Kami memiliki surat-menyurat yang membuktikan bahawa sekatan terhadap pengkritik kerajaan adalah teratur dan sistematik," kata Zaid.
Dia seterusnya mendakwa Putrajaya sengaja menanamkan suasana ketakutan untuk menghalang kritikan media dan orang awam terhadap kerajaan atau dasar-dasarnya.
“Hanya beberapa bulan yang lalu kerajaan mengancam orang ramai supaya tidak membincangkan isu kasino Forest City yang dilaporkan secara meluas, malah terpaksa mendakwa pengkritik terkenal seperti Chegubard di bawah Akta Hasutan kerana membuat catatan Facebook berdasarkan berita yang dilaporkan oleh Bloomberg," katanya.
Zaid kemudian menyelar kerajaan kerana merancang sekatan ke atas media sosial sedangkan gabungan itu sendiri menurutnya dapat bertahan kerana berita dalam talian dan platform media sosial.
"Kami menggesa kerajaan untuk menarik balik rancangan baru yang zalim ini untuk menyekat kritikan dalam talian, khususnya mana-mana bahagian peraturan yang dirancang yang bertujuan untuk menapis atau mengehadkan wacana mengenai perkara kepentingan awam, khususnya peraturan yang dikatakan berkaitan kandungan politik.
"Sebarang peraturan yang wujud akan mempermainkan Perlembagaan dan menurunkan negara kita kepada pemerintahan diktator," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/06/18e8dc8cdb9c6e4708cde35fc2cdd992.jpg)
