Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa agar kontroversi lagu Negaraku yang membabitkan seorang pelajar dari Johor yang kini sedang menuntut di Taiwan, dilihat dari konteks keseluruhannya, daripada terus menyerang dan melabelkan anak muda tersebut sebagai seorang pengkhianat dan musuh negara.

Naib Ketua AMK, Amiruddin Shari berkata, AMK melihatnya secara objektif apa yang dilakukan oleh pelajar yang dikenali sebagai Namewee itu "sambil tidak menafikan wujudnya unsur-unsur keterlaluan dan tidak wajar, khususnya penggunaan kata-kata kesat dan kasar".

"Namun begitu, beberapa perkara yang timbul dari bait-bait lirik lagunya itu adalah tanda bahawa anak muda Malaysia mengharapkan sesuatu yang lebih rata dan adil dalam dasar negara," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Tambahnya, sejarah membuktikan bahawa kritikan-kritikan seumpama itu akan sentiasa wujud dalam pemerintahan yang bersikap keras dan mencengkam kebebasan.

"Kecurigaan terhadap pasukan polis adalah perkara lumrah di kalangan rakyat Malaysia dan hal ini telah berlarutan semenjak 1998 lagi.

"Oleh itu, (penubuhan) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) adalah sangat mendesak untuk dilaksanakan bagi memulihkan kredibiliti pasukan terbabit," tambahnya.

Dialog antara agama

Dalam hal agama pula, katanya, ia menjelaskan kebimbangan AMK selama ini bahawa kegelisahan agama telah berakar jauh dalam masyarakat dan perlunya dialog dan kefahaman antara agama diterapkan dalam masyarakat.

"Kesimpulannya, kami menyeru agar anak muda ini tidak diambil tindakan, sebaliknya kerajaan dan masyarakat harus dengan segera membetulkan kegelisaan Namewee dan generasinya," tambah Amiruddin.

Beliau juga menggesa Namewee menyertai AMK bagi menyediakan platform untuk dia menyuarakan keprihatinannya itu.

Selain itu, kata Amirudin, AMK Batu Gajah juga akan menawarkan bantuan guaman kepada Namewee sekiranya dia berdepan dengan masalah dengan pihak berkuasa apabila pulang nanti.

Sementara itu, Bendahari PKR, William Leong yang hadir sama dalam sidang akhbar tersebut berkata, Namewee tidak mengubah lirik lagu Negaraku, tetapi hanya muzik latarbelakangnya sahaja.