Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Usaha Abang Zam perjuang isu air akan diteruskan
Diterbitkan:  Jun 26, 2024 9:20 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

PRK SG BAKAP | PAS Pulau Pinang menyifatkan bekas Adun Sungai Bakap Nor Zamri Latiff merupakan pejuang dalam dalam usaha menyelesaikan masalah air di kawasan Mukim 5 dewan undangan negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Penerangannya Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata sebaik dipilih sebagai wakil rakyat Nor Zamri terus berikrar dan menyusun strategi untuk menangani permasalahan itu.

“Selama enam tahun masalah air berlarutan di Mukim 5 Sungai Bakap sehinggakan pada tahun 2022, sejumlah penduduk turun berhimpun di hadapan DUN Pulau Pinang bagi menuntut hak air bersih daripada kerajaan Negeri.

“Namun, tiada kedengaran sebarang solusi daripada pihak kerajaan yang diwakili Adun PKR sehinggalah Abang Zam (Nor Zamri) membawa usul berkenaan isu ini di dalam sidang DUN dan menjadi satu topik hangat yang dibicarakan.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

“Usaha Abang Zam tidak terhenti di situ, pertemuan demi pertemuan bersama penduduk, syarikat operator dan agensi-agensi berkaitan terus dilaksanakan bagi mencari solusi terbaik dalam menoktahkan permasalahan ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nor Zamri meninggal dunia pada 24 Mei lalu sekali gus menyaksikan berlangsungnya PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai nanti.

Untuk rekod isu masalah air di sekitar Sungai Bakap antara isu utama yang sentiasa disentuh pimpinan PN sepanjang kempen yang berlangsung sejak Sabtu lepas.

PN mempertaruhkan calon daripada PAS Abidin Ismail berdepan calon PH-BN diwakili Joohari Ariffin.

Muhammad Fawwaz berkata, Nor Zamri juga gigih menyinsing lengan turun menyantuni rumah-rumah yang terjejas dengan masalah air.

Dakwanya Nor Zamri terbukti tidak bercakap sahaja demi memancing undi memenangi pilihan raya.

“Usaha perjuangan ini akan diteruskan oleh calon PN iaitu abang Abidin yang bekerja rapat dengan Almarhum Abang Zam dahulu bagi menyelesaikan isu utama penduduk Sungai Bakap.

“Oleh itu jangan risau, kerajaan Perpaduan telah memberi jaminan akan meneruskan komitmen membantu mengatasi isu air biarpun calon PH kalah dalam PRK kali ini,” jelasnya yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS