Azly, Mutiara jawab dakwaan UUM
Ahli akademik Dr Azly Rahman dan isterinya, Dr Mutiara Mohamad, membidas Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana sanggup membuat serangan peribadi terhadap mereka sedangkan isu utama pemecatan mereka ialah kerena keengganan mereka menandatangani Akujanji.
Ahli akademik Dr Azly Rahman dan isterinya, Dr Mutiara Mohamad, membidas Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana sanggup membuat serangan peribadi terhadap mereka sedangkan isu utama pemecatan mereka ialah kerena keengganan mereka menandatangani Akujanji.
Dalam satu kenyataan Jumaat lalu, UUM mendakwa pasangan tersebut berhutang sebanyak RM1.25 juta daripada universiti tersebut bagi pembiayaan pengajian mereka di luar negeri dan oleh itu menyatakan mereka dipecat bukan semata-mata kerana enggan menandatangani Akujanji.
Menurut Azly, ia merupakan satu keputusan yang sukar bagi mereka berdua untuk bercakap secara terbuka mengenai sebab-sebab yang berunsur peribadi.
UUM, kata Azly, yang juga kolumnis malaysiakini, dan isterinya, telah mendapat kebenaran universiti tersebut untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti Colombia di Amerika Syarikat selama tiga tahun mulai 1997.
Sepanjang tempoh tersebut, semua perbelanjaan, termasuk gaji bulanan mereka, dibiayai oleh UUM.
Difahamkan pasangan itu juga telah meminta lanjutan masa sebanyak empat kali untuk menamatkan pengajian mereka, dan ianya diluluskan bersama gaji bulanan dan perbelanjaan mereka dibiayai oleh pihak universiti tersebut, walaupun mereka tidak datang bertugas.
Keperitan kewangan
Menurut Azly, beliau menyerahkan perkara tersebut untuk diuruskan oleh peguam mereka.
Bagaimanapun, katanya, beliau perlu menjawab tuduhan universiti tersebut dan menyatakan sebab-sebab mengapa mereka meminta lanjutan tempoh pengajian dan kemudiannya memohon untuk cuti tanpa gaji selepas tamat pengajian.
Ini termasuk keperitan kewangan yang dihadapi oleh pasangan tersebut apabila nilai ringgit jatuh merudum sewaktu krisis kewangan Asia pada 1997 sewaktu mereka mengikuti pengajian di peringkat PhD.
Di samping itu, pasangan tersebut terpaksa menjaga seorang ayah mereka yang sakit kuat yang akhirnya meninggal dunia, manakala seorang lagi anak mereka terpaksa menerima rawatan pakar kerana hilang pendengaran.
Mutiara juga mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menjalani pembedahan baru-baru ini.
Dipecat dan dihukum
"Orang ramai berminat untuk mengetahui bahawa seseorang itu boleh dipecat dan hilang segala-galanya kerana mengambil pendirian menentang surat Akujanji, walaupun telah disahkan dalam jawatannya dan walaupun Akujanji itu adalah tambahan kemudiannya kepada peraturan/pekeliling yang sedia ada.
"Sekiranya kami dibenarkan mengambil cuti tanpa gaji itu, kini kami sudahpun balik bertugas di universiti tersebut," kata suami isteri itu yang kini mengajar di Amerika Syarikat.
Katanya, jika mereka diberi penjelasan dan jaminan bahawa Akujanji tidak menjadikan mangsa mereka yang bersuara dan mempunyai pendirian, mereka akan menandatanganinya.
"Lebih baik lagi, jika surat (Akujanji) itu tidak wujud langsung, maka pihak universiti tidak akan menyaksikan petisyen dihantar kepada Perdana Menteri dan kini diedarkan di semua universiti utama, menuntut supaya ianya ditarik balik," katanya.
Pasangan itu sekali lagi menegaskan bahawa mereka telah "dipecat, dihukum dan kehilangan semua faedah persaraan mereka" kerana enggan menandatangani Akujanji itu.
Baru-baru ini, UUM telah menghantar notis guaman kepada Azly menuntutnya memohon maaf secara terbuka dan berhenti menulis artikel yang mencemarkan nama baik UUM.
Bagaimanapuan, Azly enggan berbuat demikian.
Azly dan Mutiara berharap orang ramai akan memahami penjelasan mereka berhubung isu tersebut.
Sehubungan itu, mereka menggesa supaya ditingkatkan usaha supaya Akujanji ditarik balik, supaya tidak ada lagi ahli akademik yang dipecat kerana enggan menandatanganinya atau tindakan diambil terhadap pelajar yang bertanya soalan dalam forum awam dan sebagainya. Berita asal

