Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengundi Nenggiri memilih pada 17 Ogos ini
Diterbitkan:  Jun 28, 2024 12:05 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 Ogos ini sebagai hari mengundi bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Nenggiri yang sebelum ini diisytiharkan kosong.

Pengerusi SPR Ramlan Harun berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 3 Ogos.

Menurut Ramlan, untuk pengundi awal, SPR menetapkan proses itu berlangsung 10 hari selepas penamaan calon, iaitu pada 13 Ogos.

Malaysiakini pada 19 Jun lalu melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi Nenggiri kosong bermula pada hari tersebut selaras dengan Undang-Undang Tubuh negeri Kelantan.

"Maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili Mohd Azizi (Abu Naim).

"Menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis kekosongan," katanya.

Mohd Ammar yang juga adalah bekas timbalan menteri besar berkata, keputusan itu susulan DUN Kelantan menerima notis bertulis daripada Bersatu pada 12 Jun lalu, diikuti Mohd Azizi sehari kemudian.

Mohd Azizi Abu Naim

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injuksi Mohd Azizi bagi menangguhkan pengumuman tarikh PRK di DUN berkenaan.

Dia yang juga ahi parlimen Gua Musang memohon perintah sekatan sementara untuk mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan tuntutan mahkamahnya mencabar kesahihan penamatan keahlian Bersatu.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menolak permohonan injunksi tersebut selepas mendengar hujahan Mohd Azizi selama lebih dua setengah jam.

Ramlan berkata bagi menjalankan proses PRK berkenaan, SPR melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya yang akan dibantu oleh tiga pegawai penolong pengurus.

"Bagi tujuan memantau aktiviti kempen di sepanjang tempoh rasmi berkempen pula, SPR akan menubuhkan dua pasukan penguat kuasa yang akan turut dianggotai oleh wakil-wakil Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan, dan dan wakil-wakil calon," katanya pada sidang media di Putrajaya itu.

Kata Ramlan SPR akan menggunakan daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 18 Jun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS