Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Matrikulasi: PM jamin kuota pelajar bumiputera dikekalkan
Diterbitkan:  Jul 1, 2024 9:45 AM
Dikemaskini: 3:22 AM

Kerajaan menegaskan akan tetap mempertahankan kuota bumiputera dalam melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, di sebalik pengumuman bahawa calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira kaum atau latar belakang juga akan diberikan tempat.

Berucap pada majlis perjumpaan perdana menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini, Anwar Ibrahim berkata, prinsip itu adalah adil dan munasabah.

"Kalau dia (pelajar) itu rakyat dan warga kita, kita harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A kita beri jaminan tempat di matrikulasi.

"Kuota bumiputera kita tetap dikekalkan kerana ini keputusan sudah lama kerana berkait dengan perlembagaan, jaminan masa depan bumiputera Melayu supaya tidak berlaku kesenjangan," katanya.

Menurut perdana menteri, sejak merdeka kian ramai pelajar termasuk kalangan Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak mendapat 10A ke atas.

“Tiap kali kerana kita ada kuota bumiputera, kadang-kadang dijadikan isu keterlaluan, di satu pihak nak menafikan hak minoriti. 

“Satu pihak lagi nak pertikai prinsip perlembagaan dan jaminan kepada bumiputera terutama secara nisbi dalam kedudukan lebih rendah kerana kemudahan di desa dan miskin bandar.

“Maka kita ambil jalan agak adil dan munasabah. Kalau dia itu rakyat di negara kita, maka harus pelihara. Kita juga menerima kenyataan tentang meritokrasi,” katanya. 

Semalam, Anwar mengumumkan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi bermula tahun ini. Ia merupakan keputusan yang dipersetujui jemaah menteri pada mesyuarat Jumaat lalu.

Anwar berkata walaupun keputusan itu memberikan pengiktirafan pada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar belakang, namun kerajaan pada masa sama tegas mempertahankan kuota bumiputera.

“Saya percaya perkara ini akan dijelaskan dengan lebih teliti hari ini. Fadhlina (Sidek) (Menteri Pendidikan) akan cerakinkan secara lebih jelas,” katanya.

Anwar berharap pengumuman berkaitan jaminan tempat matrikulasi kepada calon cemerlang SPM tanpa mengira kaum atau latar belakang itu akan membantu negara mengiktiraf setiap calon warganegara yang cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

“Sesiapa dapat 10A tanpa mengira kaum dan wilayah, kita (kerajaan) berikan jaminan tempat di matrikulasi. Maka, kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah,” kata perdana menteri.

Anwar berkata keputusan itu menggambarkan bahawa kerajaan amat prihatin dan mahu negara lebih maju dengan mengutamakan prinsip kesaksamaan yang menjadi moto dalam pentadbiran negara.

“Bidang pendidikan ialah wahana terbaik untuk mencapai mobiliti sosial. Yang terbaik, terpintar, paling cemerlang harus diberikan galakan tetapi jangan dipinggirkan yang miskin,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS