PARLIMEN | Kerajaan akan mengumumkan pelantikan pengerusi Suhakam yang baru tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran.

Bercakap di Dewan Rakyat petang ini, Kulasegaran berkata proses untuk memilih dan melantik pengerusi baru bagi suruhanjaya hak asasi manusia itu kini di peringkat akhir.

Menurut Kulasegaran, proses pemilihan itu mengambil kira pindaan Akta Suhakam baru-baru ini yang mewajibkan anggota Suhakam bebas daripada sebarang penglibatan aktif dalam politik dan tidak boleh menjadi ahli mana-mana parti politik.

"Justeru itu satu mesyuarat jawatankuasa pemilih bagi memilih pengerusi Suhakam telah diadakan pada 7 Jun 2024, selaras dengan Seksyen 11A Akta Suhakam.

"Cadangan (melantik) pengerusi Suhakam pada masa kini berada pada peringkat akhir, dan pengerusi baru akan diumumkan dalam masa yang terdekat," katanya.

Kulasegaran mengulas mengenai isu pelantikan pengerusi Suhakam yang baru ketika menyampaikan ucapan penggulungan laporan tahunan Suhakam.

Minggu lalu, beberapa ahli Parlimen ketika membahaskan laporan itu membangkitkan isu berhubung kelewatan melantik pengerusi Suhakam.

Mereka menuntut kerajaan menjelaskan mengapa pengerusi Suhakam yang baru belum dilantik sejak jawatan itu dikosongkan pada Ogos tahun lalu.

Pengerusinya sebelum ini Rahmat Mohamad meletak jawatan secara sukarela berkuat kuasa pada 31 Ogos tahun kepas.

Rahmat berundur daripada jawatan itu lebih kurang dua bulan selepas beberapa dakwaan dibuat terhadapnya, daripada isu perkauman hinggalah salah guna kuasa.