Paling Popular
Terkini

PRK SG BAKAP | Kumpulan pendesak pembaharuan pilihan raya Bersih membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengumuman "bersyarat" Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semasa kempen Pakatan Harapan (PH) di Sungai Bakap.

Pengarah Komunikasi Bersih Asraf Sharafi Mohd Azhar berkata, pengumuman Presiden Umno itu berhubung rancangan kerajaan membina dua pusat khidmat warga emas dan sebuah sekolah vernakular Tamil di kawasan itu sekiranya calon PH Joohari Ariffin menang esok.

"Pengumuman tersebut bermasalah sebab dia buat dengan bersyarat iaitu syaratnya sekiranya calon PH menang PRK ini," katanya.

Dia berkata, pengumuman itu bertentangan dengan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya yang menetapkan sebarang pengumuman yang dibuat tidak boleh disertakan dengan sebarang syarat.

Dua hari lalu, Zahid membuat kemunculan di Sungai Bakap untuk berkempen bagi calon PH dan memikat pengundi Melayu. Ketika berkempen, Zahid membuat pengumuma berkenaan.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menuduh tindakan berkenaan sebagai "rasuah terang-terangan" dan melabelkan perbuatan itu sebagai percubaan terdesak untuk pakatan pemerintah meraih pengundi di DUN itu.

Menjawab perkara ini, Bersih telah menuntut agar garis panduan pilihan raya yang ketat ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi memastikan kesalahan sama tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.

Badan pemantau pilihan raya itu berkata taktik berkempen berkenaan adalah taktik lapuk yang tidak akan menarik pengundi kerana rakyat mahukan keikhlasan dalam dasar yang menguntungkan rakyat.

“Apa yang pengundi nak sebenarnya adalah keikhlasan. Yang menambah baik polisi, polisi sedia ada untuk manfaat rakyat dan bukannya untuk bermain politik terutamanya bila pengumuman tersebut dibuat beberapa hari sebelum pilihan raya,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lalu.

PRK di DUN itu akan menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon PH Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail.

Hari mengundi ialah pada 6 Julai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS