Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cemas seketika - Loke batuk, tercungap-cungap
Diterbitkan:  Jul 10, 2024 12:13 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

PARLIMEN l Menteri Pengangkutan Anthony Loke mencetuskan situasi mencemaskan di Dewan Rakyat hari ini apabila percakapannya tersekat-sekat dan tercungap ketika menjawab soalan.

Sambil menepuk dada beberapa kali, Loke kemudian duduk untuk berehat sambil memberi isyarat kepada timbalannya, Hasbi Habibollah yang turut berada di dalam Dewan Rakyat untuk meneruskan sesi itu.

Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang prihatin menasihatkannya supaya menjalankan pemeriksaan kesihatannya di hospital.

“Relaks dulu Yang Berhormat (YB), kena periksa di hospital. Bahaya, bahaya,” katanya.

Malaysiakini difahamkan bahawa Loke sesak nafas kerana dia berlari dari keretanya ke Dewan Rakyat, kerana dia adalah menteri pertama mengikut jadual untuk menjawab soalan pertama.

Loke dilaporkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akibat hujan lebat di Lembah Klang pagi ini.

Selepas berehat sebentar, Loke mengambil alih semula tugas tersebut daripada timbalannya dan menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Wong Chen (PH-Subang) berhubung maklumat terkini kes pemandu e-hailing kurang upaya yang didakwa diserang oleh pengiring pemangku sultan Johor.

[Baca berita penuh]

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan dasar semasa tidak menghalang Orang Kurang Upaya (OKU) dari kategori pendengaran termasuk pertuturan yang memiliki kad OKU dan Lesen Memandu Malaysia (LLM) Kelas D/DA untuk memohon Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini berkata mereka boleh memohon lesen berkenaan dengan pengesahan kesihatan daripada Pengamal Perubatan Berdaftar.

Beliau menjawab soalan asal Wong Chen (PH-Subang) mengenai garis panduan untuk membenarkan pemandu OKU dengan lesen A/A1 bekerja sebagai pemandu e-hailing dan rancangan kerajaan mengubah garis panduan bagi membenarkan pemandu OKU mendapatkan lesen PSV. 

Mengenai kebenaran bagi pemandu OKU dengan lesen A/A1 mendapatkan lesen PSV, Hasbi berkata dasar semasa Pelesenan Pemandu Kenderaan Perkhidmatan Awam tidak membenarkan mereka  memohon Lesen Vokasional bagi apa-apa kelas.

“Perkara ini telah dinyatakan di bawah Seksyen 30, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mensyaratkan seorang pemohon membuat akuan dalam borang ditetapkan sama ada menghidap apa-apa penyakit atau ketakdayaan jasmani yang mungkin menyebabkan pemanduan menjadi punca bahaya kepada orang lain,” katanya.

Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat bertukar cemas seketika apabila Menteri Pengangkutan Anthony Loke semasa menjawab soalan asal Wong, kelihatan seperti sesak nafas dan berdehem beberapa kali, sebelum Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng meminta Hasbi mengambil alih tugas beliau. 

Bagaimanapun, Loke dilihat kembali stabil dan menyambung menjawab soalan tambahan daripada Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang mahu tahu sama ada terdapat pengecualian tertentu bagi golongan OKU dalam sektor e-hailing.

Bagi isu itu, Loke menjelaskan sememangnya terdapat pengecualian diberikan namun bagi pemohon kelas A/A1 ia perlu melihat kepada kecacatan fizikal yang dialami.

“Ada yang mungkin tidak boleh di peringkat pengecualian tetapi sebagaimana dalam dasar kita, kita memang ‘pro’ kepada pemandu OKU sebab kita melihat mereka juga mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan mampu menjadi pemandu berhemah dalam perkhidmatan e-hailing.

“Selagi mereka dapat membuktikan bahawa dari segi fizikal mereka boleh memandu, kita cuba beri pengecualian. Cuma dalam borang pendaftaran mereka memerlukan pengecualian daripada Kementerian Kesihatan dalam perkara ini memang kita akan lihat dan cuba tambah baik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS