Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Syahredzan Johan (PH-Bangi) menggesa siasatan dibuat terhadap projek Rifer of Live (ROL) yang disifatkan gagal.

Ketika sesi perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat hari ini, Syahredzan berkata laporan tersebut merupakan satu isyarat bahawa projek itu perlu disiasat.

"Saya tidak kata ada kesalahan jenayah, tetapi kegagalan seperti ini pada saya merupakan suatu isyarat atau red flag untuk sekurang-kurangnya memulakan siasatan. Kalau semua teratur, bagus," katanya.

Menurut laporan itu, walaupun menelan belanja hampir RM4 billion sejak 2011, projek tersebut mungkin tidak dapat disiapkan tahun ini serta tidak mencapai objektifnya.

Jabatan Audit Negara juga mendapati banyak kemudahan di situ telah rosak dan beberapa projek berdepan penangguhan melangkaui lapan tahun, justeru meningkatkan lagi kosnya.

Mengulas lanjut, Syahredzan menggesa kerajaan untuk memandang serius kegagalan ROL dan mencari puncanya.

Patut diteruskan

Dia juga mencadangkan agar kerajaan terus memanfaatkan kemudahan yang sudah siap, agar ia tidak menjadi "monumen kegagalan" ROL.

"Saya benar-benar kecewa melihat kegagalan projek ini sebab pada saya niat projek ini amat baik, iaitu mengindahkan dan membersihkan sungai di Kuala Lumpur."

Mohd Isam Mohd Isa

Justeru, dia senada dengan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) agar projek itu diteruskan.

"saya setuju dengan Tampin tadi kerana saya fikir projek ini wajar diteruskan setelah kerajaan memperbaiki kelemahan yang ada," katanya.

Terdahulu, Isam berkata pencapaian ROL adalah baik sehingga pernah tersenarai sebagai antara dermaga terbaik di dunia.

"Kualiti air semakin jernih dan tidak berbau, lampu juga semakin cantik.

"Amat tidak adil untuk sifatkan pojek ROL sebagai tiada model perniagaan yang menyeluruh. Jika model perniagaan tidak baik, mana mungkin tempat itu dapat (Tarik) pelancong dan jadi salah satu destinasi wajib dikunjungi di Kuala Lumpur?

"Mohon ada penjelasan sebaliknya agar tak ada kekeliruan di kalangan masyarakat," katanya lagi, sambil menambah kerajaan perlu membuat penambahbaikan yang perlu untuk projek itu agar ia dapat terus menjadi tarikan pelancong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS