Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sanusi: Saya sudah laksanakan perintah Tuhan haramkan judi
Diterbitkan:  Jul 10, 2024 6:52 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata dia sudah melaksanakan tanggungjawab untuk patuh kepada perintah Tuhan dengan mengharamkan kegiatan judi.

Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan perjudian berlesen, katanya, sesiapa yang terbabit itu, perlu jawab dengan Tuhan.

"Saya sudah laksanakan peranan saya dan tetapkan pendirian selari dengan perintah Tuhan. Sesiapa yang terbabit itu, jawab dengan Tuhan. Dia ingat lepas di dunia, akhirat tak lepas.

"Saya telah buat apa dalam bidang kuasa saya. Saya telah laksanakan perintah Tuhan ke atas saya. Setiap manusia dihantar ke dunia ada tanggungjawab sebagai khalifah," katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian Online, di Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan semakan kehakiman itu, Sanusi berkata, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah sudah memfail notis rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 24 Jun lalu.

"Notis permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi difailkan pada 4 Julai lalu. Semakan kehakiman telah dibuat operator syarikat perjudian dan diterima mahkamah.

"Ini bermakna keputusan Kedah dianggap terbatal dengan keputusan tersebut.

“Berikutan keputusan itu, kita kemuka dua notis untuk mohon tangguh sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan," katanya.

Menurut Sanusi, setakat ini dasar larangan kegiatan perjudian masih berkuat kuasa di negeri ini sehingga keputusan baharu diputuskan.

Katanya, syarikat perjudian terbabit turut memohon ganti rugi daripada kerajaan negeri kerana mereka tidak dapat beroperasi.

Pada 14 November 2022, Sanusi mengumumkan kerajaan negeri tidak lagi meluluskan lesen judi, selain mengehadkan penjualan arak di semua premis terutama di kawasan luar bandar negeri itu.

Pada 1 Januari tahun lalu, keputusan itu dikuatkuasakan menyebabkan semua premis perjudian dan loteri tidak lagi dibenarkan beroperasi di seluruh Kedah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS