Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suami isteri ditahan dipercayai dera dua anak
Diterbitkan:  Jul 14, 2024 10:00 AM
Dikemaskini: 2:00 AM

Sepasang suami isteri ditahan polis malam tadi kerana disyaki mendera dua anak mereka yang berusia enam dan tujuh tahun.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kedua-dua suspek ditahan di kediaman mereka di Jalan Jabor Kubur di Chukai kira-kira 8 malam selepas aduan oleh orang awam.

Beliau berkata suspek wanita yang berusia 26 tahun ialah ibu kandung manakala suspek lelaki, 30, merupakan bapa tiri kedua-dua mangsa.

"Polis menerima laporan daripada orang awam yang melihat kanak-kanak lelaki dan adik perempuannya dipukul sekitar 5 petang hari sama di hadapan rumah mereka.

"Kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan dan pegawai perubatan mendapati terdapat kesan kecederaan lama dan baharu pada hampir keseluruhan tubuh mereka," katanya ketika dihubungi.

Menurut Hanyan adik-beradik itu masih dirawat di hospital dan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya pasangan itu akan direman mulai hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS