Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) telah menarik balik surat tuntutannya (LOD) terhadap The Edge Communications Sdn Bhd dan salah seorang penulisnya.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen hari ini, Sim berkata dia tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh HRD Corp, sebuah agensi di bawah kementeriannya kerana bertentangan dengan kebebasan media.

"Saya telah mengarahkan HRD Corp untuk menarik balik saman tersebut.

"Dan sukacita saya ingin maklumkan bahawa saman tersebut telahpun ditarik balik semalam sebelum PAC membuat sidang media.

Terdahulu, PAC yang diketuai Mas Ermieyati Samsudin mengecam tindakan HRD Corp yang mahu menyaman The Edge seperti dilaporkan semalam.

"PAC mengutuk tindakan yang dilakukan oleh HD Corp dan memandang serius tentang perkara ini.

“PAC menganggap ini satu cubaan untuk memberikan tekanan kepada pihak media untuk tidak menyiarkan laparan PAC berhubung HRD Corp,” kata Mas Ermieyati.

Menurut The Edge, surat tuntutan itu dihantar bagi pihak agensi oleh firma guaman Amrit & Company.

Antara lain, surat itu mendakwa syarikat media berkenaan telah "menerbitkan secara tidak adil, sengaja, berniat jahat, melulu dan dengan niat jahat salah memetik, mensensasikan dan menyalahtafsir penemuan yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara" dalam dua artikelnya.

HRD Corp pada mulanya meminta dua artikel berkenaan dikeluarkan, serta permohonan maaf bertulis secara rasmi diterbitkan dalam dua akhbar harian Inggeris dan laman web The Edge dalam tempoh 48 jam dari tarikh surat berkenaan. Syarikat itu juga menuntut ganti rugi untuk kerugian yang didakwa ditanggungnya.

Ketua pegawai eksekutif dan penerbit Edge Media Group, Ho Kay Tat dalam responnya berikrar menghadapi sebarang saman daripada HRD Corp, sambil menegaskan bahawa isu yang dilaporkan melibatkan kepentingan awam kerana membabitkan wang kepunyaan majikan dan pekerja di negara ini.