Jika lawan, dibisukan - PAS dakwa video ‘bakal PM’ dibuang dari TikTok
PAS mendakwa hampir 20 video TikTok dibuang daripada akaun TikTok Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut Ketua Penerangan PAS Selangor Zurk Ahmad, video yang dibuang itu langsung tidak menyentuh sensitiviti 3R (bangsa, agama dan Raja-raja).

“Jika lawan, dibisukan. Itulah akibatnya bersuara di bawah rejim Madani.
“Akibat kepada negara, jatuh 34 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Zurk, keadaan kerajaan hari ini bagai retak menanti belah dengan hampir semua tindakan kerajaan gagal dan dikritik rakyat serta negara luar.
“Apa yang boleh dibuat terus mengunci mulut rakyat dan mencandui rakyat dengan tipu helah agar mereka kekal berkuasa,” katanya.
TikTok dilihat penting untuk capaian PAS, dengan pengerusi Majlis Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar parti itu, Muhammad Khalil Abdul Hadi mengakui kejayaan mereka memenangi 49 kerusi pada pilihan raya umum ke-15 lalu adalah kerana latform media sosial.
Zurk berkata video itu telah dibuang daripada TikTok tanpa sebarang notis.

Antaranya ialah video ucapan Ahmad Samsuri kepada pemain bola sepak Terengganu yang mendapat 1.3 juta tontonan, video ahli kelab penyokong PAS ‘Aunty Amy Chua’ dengan 5.5 juta tontonan dan perbahasan menteri besar itu di Dewan Rakyat dengan 700,000 tontonan.
“Video di atas hanya berkisar soal negeri dan kerja MB. Bukan juga video lama yang diharamkan Fahmi Fadzil. Apakah “community guidelines” yang telah dilanggar?
“Nampaknya jumlah tontonan dan populariti Ahmad Samsuri juga menjadi ketakutan pihak tertentu,” kata Zurk sambil mendakwa kerajaan hari ini terkesan dengan fenomena menteri besar itu dalam PRK Kemaman dan dengan naratifnya sebagai bakal perdana menteri.

“Selain itu, dua video (bekas menteri) Khairy Jamaluddin tentang soalan dan kritikan beliau dalam isu pembelian saham Blackrock turut dipadam.
“Apakah kesannya perbincangan dasar Malaysia ini kepada TikTok?
“Tidak mustahil jika ada ‘arahan istimewa’ telah diterima. Rakyat tahu kementerian manakah yang paling berfungsi hari ini dalam negara,” kata Zurk.
Sebelum ini, kerajaan menafikan penglibatan dengan pemadaman beberapa video Khairy di TikTok mengenai isu Blackrock dan Malaysia Airports Holdings Bhd. Malah menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tiada sebarang arahan diberikan.
Fahmi berkata kementeriannya dan pengawal selia internet, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), tidak mengambil sebarang tindakan terhadap hantaran Khairy.

Zurk mendakwa bahawa kerajaan dan agensinya sedang mengawasi media sosial rakyat, termasuk pemimpin pembangkang.
“TikTok akui terima permintaan padam lebih banyak kandungan pada 2023.
“Menurut Meta, antara Julai 2022 dan Jun 2023, pihaknya mengehadkan akses kepada lebih 3,500 kandungan sebagai tindak balas kepada laporan yang dibuat oleh pengawal selia komunikasi Malaysia dan agensi kerajaan lain.
“TikTok (juga) padam 2113 video, termasuk 325 video atas permohonan SKMM,” kata Zurk lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/46acb248d0efe3889a8ee21ef600e8ad.jpg)
