Tindakan menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada Parlimen selama enam bulan disifatkan sebagai ‘bacul’ dan melanggar prinsip demokrasi, kata Pemuda Bersatu (Armada).

Penolong Setiausaha Armada, Muhammad Faiz Rahmad berkata, ini kerana ketua Armada itu tidak diberi hak untuk membela diri daripada pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

"Tiada seorang pun harus diadili tanpa perbicaraan yang adil di mana setiap pihak harus diberi peluang untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka (audiatur et altera pars).

"Ini adalah prinsip penting dalam sistem perundangan Malaysia bagi membantu untuk memastikan bahawa keadilan ditegakkan dan semua pihak diperlakukan secara adil. Malangnya ia tidak berlaku dalam proses pergantungan YB Machang," kata Faiz dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, Wan Fayhsal digantung selama enam bulan daripada sidang Parlimen dengan 110 ahli parlimen mengundi menyokong, 63 menentang dan tiga berkecuali.

Seramai 46 lagi ahli parlimen tidak hadir.

Keputusan itu dibuat selepas Wan Fayhsal membangkitkan satu surat layang ketika perbahasan parlimen pada 1 Julai, yang dikatakan memburukkan penjawat awam menerusi maklumat yang tidak disahkan.

Surat itu menamakan seorang pegawai dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai "dalang" rancangan untuk menswastakan Malaysia Airport Holdings Bhd dan menggambarkan pegawai itu secara negatif.

Rujuk ke jawatankuasa hak

Mengulas lanjut, Faiz berkata Wan Fayhsal sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kebebasan Asasi Dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan untuk membolehkannya menyerahkan bukti yang dia ada, dan bukannya digantung.

Faiz berkata tindakan menggantung Wan Fayhsal kerana hanya meminta penjelasan daripada kerajaan dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung perkara itu adalah satu bentuk "kezaliman dan penindasan" terhadap ahli parlimen pembangkang.

"Usul yang dibawa untuk menggantung YB Machang juga tidak memenuhi syarat seperti ditetapkan dalam peraturan mesyuarat dimana pegawai KWSP bukanlah pegawai kerajaan kerana tidak melalui proses pengambilan pekerja awam SPA dan tidak menerima gaji serta faedah melalui Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM),” katanya.

Tambahnya, kKerajaan juga kelihatan tidak berminat untuk meneliti atau menyiasat berkenaan surat yang diterima oleh ahli parlimen Machang itu berkenaan penjualan aset MAHB.

"Armada seluruh negara telah mengambil pendirian mengecam pihak kerajaan dan speaker dewan rakyat yang membenarkan usul bacul ini dilaksanakan," katanya.