PRK NENGGIRI | Bersatu mendakwa mereka mempunyai kaedah tersendiri untuk memastikan calon mereka tidak akan berpaling tadah dari PN seandainya memenangi kerusi Nenggiri pertengahan bulan depan.

Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin, berkata kaedah diperkenalkan parti itu berupaya memastikan semua wakil rakyat mereka patuh kepada keputusan dibuat parti.

Dipetik sebagai berkata begitu oleh harakahdaily, Radzi menjelaskan Bersatu akan melakukan yang sebaik mungkin supaya tiada lagi tindakan mengingkari arahan parti berlaku pada masa depan.

“Itu merupakan proses dalaman parti dan kita (Bersatu) akan laksanakan yang terbaik, dan akan pastikan sebaik mungkin bahawa pisang tidak akan berbuah dua kali dah," katanya.

Bagaimanapun menurut lidah rasmi PAS itu, Radzi tidak memperincikan kaedah yang dimaksudkannya itu, sama ada melalui baiah seperti yang dilakukan oleh PAS atau ada cara lain.

Jaminan dibuat Ahli Parlimen Putrajaya itu dibuat ketika sebelum ini ada pihak dalam PAS mendesak agar kerusi Nenggiri diberikan kepada mereka atas alasan bagi mengelak berulangnya insiden Adun menyokong kerajaan perpaduan.

Antara pihak yang mahu agar bukan calon Bersatu yang bertanding di Nenggiri ialah Dewan Muslimat PAS Pusat.

Ketuanya Nuridah Mohd Salleh berkata dia yakin jika calon PAS dipilih dan memenangi kerusi tidak akan berlaku insiden Adun berpaling tadah seperti dilakukan penyandang kerusi DUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim.

“Warga Nenggiri sudah tentu kecewa angkara pengkhianatan bekas Adun tersebut yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 7 Nov lalu.

“Kekecewaan ini juga bukan sahaja terkait dengan Adun tersebut, namun pada enam lagi ahli parlimen dan seorang Adun Bersatu yang bertanding atas tiket PN tetapi akhirnya menyokong kerajaan,” katanya yang dipetik harakahdaily pada 9 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK DUN Nenggiri ialah pada 17 Ogos, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos.

Umno sudah menamakan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mereka bagi mencabar penguasaan Bersatu-PN di kerusi tersebut.

Mohd Azmawi merupakan Ketua Pemuda Umno Kelantan.