Kursus haji boleh diajar dalam beberapa jam sahaja, kata Mufti Perlis
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ada penasihat haji, masjid atau ustaz yang menokok tambah ajaran menyebabkan orang ramai terpaksa menghafal pelbagai ayat dan peraturan untuk mengerjakan ibadat haji yang sebahagian besarnya tidak pernah diajar pun oleh hadis-hadis yang sahih.

"Ada yang menetapkan bacaan khas bagi setiap pusingan tawaf sedangkan dalam hadis, hanya dua atau tiga tempat sahaja yang ada bacaan dalam mengerjakan tawaf," katanya kepada pemberita selepas membentangkan dua kertas kerja di program Munaqashah Fikru Al-Islami siri kelima di Kuala Terengganu semalam.
Mohd Asri juga menegur penasihat haji atau ustaz yang mengambil kesempatan menjual buku atau bahan bacaan tertentu kepada bakal haji sedangkan ramai daripada mereka yang hendak mengerjakan haji tidak mampu menghafal pelbagai bacaan yang ditokok tambah itu.
"Jangan menyusahkan perkara yang mudah," katanya dalam laporan Bernama.
Sebaliknya, kata Mufti Perlis itu, kursus haji yang terlalu lama boleh menimbulkan salah faham orang ramai bahawa mengerjakan ibadat itu adalah sukar.
Menurutnya, bakal haji akan keliru kerana kursus yang diadakan itu memakan masa sehingga berbulan-bulan malah ada sehingga setahun sedangkan mengerjakan ibadat haji sebenarnya mengambil masa hanya beberapa hari sahaja.
Beliau berkata jika kursus haji diajar secara profesional dan disampaikan dengan kemas dan mudah difahami, ia boleh dilakukan dalam beberapa jam sahaja.