Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS kutuk pembunuhan Ismail Haniyeh
Diterbitkan:  Jul 31, 2024 12:24 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

PAS mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh di Iran hari ini.

“Seluruh dunia perlu mengutuk Israel yang pengecut dan bukan sahaja merupakan dalang di sebalik serangan ini, malah sedang melakukan jenayah perang di Gaza,” kata presidennya Abdul Hadi Awang.

Hamas hari ini mengumumkan kematian Ismail dan mendakwa ia berlaku akibat serbuan Israel di kediaman allahyarham di Tehran, Iran.

Pasukan bersenjata Palestin itu berkata sedang menyiasat lanjut serta mengingatkan bahawa pelakunya tidak akan terlepas daripada hukuman.

Israel belum mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu.

Bagaimanapun, seorang menterinya Amichay Eliyahu meraikan kematian itu dengan berkata ia “akan menjadikan dunia ini lebih baik”.

Dalam kenyataan sebentar tadi, Hadi mengucapkan takziah kepada keluarga Ismail atas tragedi itu. 

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan dikurniakan ganjaran syahid di sisi Allah,” katanya.

Siapa Ismail?

Pada Mei 2017,  Hamas yang mentadbir Gaza, memilih Ismail,54, sebagai pemimpin biro politik, menggantikan Khaled Meshaal.

Dia lahir di kem pelarian di Gaza selepas ibu bapanya lari daripada bandar Asqalan selepas Israel menubuhkan negara pada 1948. Ismail merupakan graduan dalam bidang sastera Arab daripada Universiti Islam, Gaza.

Pada tahun 1983, di universiti, dia menyertai gerakan Blok Pelajar Islam.

Ismail merengkok dalam penjara Israel pada hujung tahun 1980 dan selamat daripada beberapa cubaan bunuh Israel semasa mendaki tangga kepimpinan Hamas.

Awal tahun ini, Israel telah membunuh tiga orang anaknya dalam serangan di utara Gaza.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS