Wisma Putra: Malaysia kutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail Haniyeh
Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, menurut Kementerian Luar.
Kerajaan turut menggesa siasatan segera dan menyeluruh dibuat terhadap pembunuhan tersebut, dengan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
"Malaysia juga menggesa semua pihak untuk bersikap tenang sementara fakta-fakta mengenai pembunuhan ini sedang dikenal pasti,' kata kementerian itu.
Hari ini, Ismail serta beberapa pengawalnya dilaporkan terbunuh susulan serbuan Zionis di kediamannya di Tehran, Iran.
Ismail berada di sana bagi menghadiri majlis angkat sumpah presiden baru Iran, Masoud Pezeshkian.
Kementerian Luar turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham serta barisan kepimpinan dan rakyat Palestin.
"Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin, dan menegaskan komitmennya untuk menyokong perjuangan mereka bagi keadilan dan penentuan nasib sendiri.
"Malaysia mengiktiraf peranan dan sumbangan Ismail Haniyeh dalam usaha membebaskan Palestin dan rakyatnya dari penjajahan haram Israel," katanya lagi.

Pembunuhan itu turut dikecam oleh para ahli politik Malaysia dari kedua-dua pihak.
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata dia "terperanjat dan sedih" dengan berita itu.
"Beliau tidak hanya seorang sahabat yang dekat, tetapi juga seorang pemimpin yang gigih berjuang untuk kesejahteraan dan kebebasan rakyat Palestin di bawah tekanan dan kezaliman yang berterusan oleh Israel.
"Almarhum telah mengabdikan hidupnya untuk memperjuangkan hak asasi dan keadilan bagi rakyatnya, sering kali menghadapi cabaran yang luar biasa dengan keberanian dan keteguhan hati," katanya dalam hantaran di Facebook.
Walaupun pemergian itu meninggalkan kekosongan besar, katanya lagi, semangat perjuangan Ismail akan terus membara dalam semua pihak yang "mendambakan keadilan dan perdamaian".
Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut mengecam Israel atas pembunuhan tersebut.
"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan dikurniakan ganjaran syahid di sisi Allah.
"Seluruh dunia perlu mengutuk Israel yang pengecut dan bukan sahaja merupakan dalang di sebalik serangan ini, malah sedang melakukan jenayah perang di Gaza.
"Palestin, perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim," katanya lagi.
Ahli Parlimen DAP Syahredzan Johan pula menyifatkannya sebagai pembunuhan yang "melanggar undang-undang antarabangsa".
"Israel sekali lagi menunjukkan ia bertindak secara sewenangnya dan terang-terangan tidak menghiraukan norma dan piawaian antarabangsa, dan hak asasi manusia," katanya di X.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/782cc98ef9aafe8179b322db667ec98a.jpg)
