Laporan eksklusif oleh Reuters menyebut bahawa pentadbiran Biden akan mengumumkan peraturan baharu bulan depan bagi memperluaskan kuasa Amerika Syarikata (AS) untuk menghentikan eksport peralatan pembuatan semikonduktor dari beberapa negara asing kepada pembuat chip China.
Walaupun sekutu AS seperti Jepun, Belanda dan Korea Selatan akan dikecualikan daripada peraturan itu, laporan itu menyebut bahawa negara yang akan terjejas termasuk Israel, Taiwan, Singapura dan Malaysia.
Peraturan itu adalah pengembangan peraturan Produk Langsung Asing AS dan apabila ia berkuat kuasa, akan menghalang beberapa kilang fabrikasi semikonduktor utama China daripada menerima eksport dari banyak negara.
Peraturan Produk Langsung Asing bermaksud bahawa jika sesuatu produk dibuat menggunakan perisian atau teknologi AS, kerajaan Biden berkuasa untuk menghalangnya daripada dijual - termasuk produk yang dibuat di negara asing.
Reuters memetik dua sumber yang tidak dinamakan dalam melaporkan berita yang menyaksikan lonjakan harga saham bagi pengeluar peralatan cip utama seperti ASML dan Tokyo Electron yang tidak akan terjejas
"Jabatan Perdagangan AS sentiasa menilai persekitaran ancaman yang berkembang dan mengemas kini kawalan eksport kami, sebagaimana perlu, untuk melindungi keselamatan negara dan melindungi ekosistem teknologi kami.
"Kami tetap komited untuk bekerja rapat dengan sekutu kami yang berkongsi nilai kami," kata jurucakap jabatan itu.
Jurucakap kementerian luar China Lin Jian mengulas dengan berkata, bahawa usaha AS untuk memaksa negara lain untuk menekan industri semikonduktor China menjejaskan perdagangan global dan merugikan semua pihak.
"Pembendungan dan penindasan tidak boleh menghalang pembangunan China, tetapi hanya akan meningkatkan keazaman dan keupayaan China untuk membangunkan kemandirian saintifik dan teknologi," katanya.
Sebelum ini AS telah mengenakan kawalan eksport ke atas cip canggih dan peralatan pembuatan cip untuk China pada 2022 dan 2023, sebelum meneruskan perjanjian dengan Jepun dan Belanda untuk turut menyekat alat pembuatan semikonduktor ke China.
Ketiga-tiga negara itu mendominasi pengeluaran peralatan pembuatan chip yang canggih.
