PMO tuntut Meta buat permohonan maaf terbuka
Pejabat Perdana Menteri (PMO) membidas wakil Meta hari ini, berhubung penurunan hantaran Facebook oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh.
PMO juga membuat beberapa tuntutan daripada Meta, termasuk permohonan maaf secara terbuka.
PMO berkata bahawa kenyataan daripada Meta akan menyusul dalam masa terdekat.
PMO berkata Meta telah berjanji untuk mengeluarkan kenyataan akhbar tidak lama lagi.
Pertemuan antara PMO dan wakil Meta hari ini diadakan selepas kerajaan menyelar tindakan Meta menurunkan hantaran Anwar yang mengecam pembunuhan Ismail.
Tindakan itu diambil Meta dengan menyertakan notis menyatakan bahawa siaran berkenaan mungkin mengandungi "simbol, pujian atau sokongan terhadap individu dan organisasi yang kami takrifkan sebagai berbahaya".
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Mohamad Salim Fateh Din turut hadir pada pertemuan antara Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO dan wakil daripada Meta.
PMO berkata ia telah menyampaikan "kekecewaan yang mendalam" terhadap tindakan Meta, menyebutnya "diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan."
“Kami turut menegaskan bahawa tindakan menurunkan hantaran ini telah memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami penderitaan rakyat Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel seperti terpahat dalam lipatan sejarah.
"Keputusan unilateral untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap konteks hantaran, jelas menimbulkan persoalan tentang ketelusan dalam dasar penapisan kandungan Meta," katanya.

PMO berkata ia juga telah membangkitkan isu sekatan siaran langsung Facebook Berita RTM bagi acara Himpunan Pembebasan Palestin malam tadi yang dihadiri oleh perdana menteri.
Ismail yang merupakan ketua politik Hamas dibunuh di sebuah rumah tamu di Tehran, Iran pada 31 Julai.
Hamas telah menyalahkan pembunuhan itu atas serbuan Israel, manakala New York Times memetik sumber di Timur Tengah dan AS mengatakan dia dibunuh oleh bom Israel yang dipasang di rumah tamu itu beberapa bulan sebelumnya.
Israel tidak mengakui atau menafikan bertanggungjawab membunuh Ismail.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/08/24277ecb5b739d9c623b3f0f7c308a39.jpg)
