Jahara: Permatang Pauh umpama 'kawasan berkudis'
Wanita Umno Pulau Pinang mengumpamakan Parlimen Permatang Pauh sebagai sebuah` kawasan berkudis' sehingga berjaya dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak dua penggal lalu.
Wanita Umno Pulau Pinang mengumpamakan Parlimen Permatang Pauh sebagai sebuah` kawasan berkudis' sehingga berjaya dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak dua penggal lalu.
Ketua wanitanya, Datin Jahara Hamid berkata, ia menjadi kawasan berkudis sejak peristiwa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika itu.
Kesannya, kata beliau, masih ada sehingga hari ini dan kudisnya belum sembuh sepenuhnya walaupun peristiwa tersebut berlaku hampir 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, ia semakin pulih kerana semakin ramai ahli Umno yang menyokong pembangkang khususnya PKR, telah mula menunjukkan sokongan kepada Umno.
"Ya saya akui Permatang Pauh merupakan kawasan yang berkudis ekoran peristiwa 1998. Tetapi sudah hampir sembuh, walaupun belum sembuh sepenuhnya. Pada penilaian kami sudah mencapai 80 hingga 85 peratus.
"Jika pilihanraya umum tahun depan, kudis hanya tinggal sedikit sahaja dan Umno akan merampas semula Permatang Pauh," kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Air Tawar dan juga Exco kerajaan negeri Pulau Pinang.
PKR menawan Permatang Pauh dalam pilihanraya umum 1999 ekoran pemecatan bekas Anwar yang juga Timbalan Presiden Umno pada September 1998.
Pertahan kerusi
Presiden PKR yang juga isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada 2004 dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti tipis.
Jahara berkata, pemecatan Anwar menyebabkan pengundi Melayu di Permatang Pauh yang merupakan penyokong setia Umno, telah beralih mengundi Wan Azizah.
Katanya, ini kerana kedudukan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri selain menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh selama empat penggal mulai 1982.
"Pemecatan Anwar menyebabkan pengundi Permatang Pauh menjadi emosi dan mereka menolak calon Umno dalam pilihanraya 1999 dan 2004 hingga Umno kalah dalam kedua-dua pilihanraya itu.
"Tetapi setelah lapan tahun diwakili PKR, mereka sudah matang dan boleh menilai semula sumbangan ahli Parlimen Permatang Pauh kepada mereka.
"Apa yang berlaku sekarang, mereka secara senyap-senyap kembali semula ke pangkuan Umno dan jumlahnya semakin ramai.
"Ini memberi petanda yang cukup baik kepada Umno untuk merampas semula Parlimen Permatang Pauh dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.
Golongan profesional
Umno mempunyai 90 cawangan di Permatang Pauh dengan keahlian kira-kira 22,000, manakala pergerakan Wanita mempunyai 85 cawangan dan ahli seramai 7,000 orang.
Sementara itu, seorang pemimpin wanita Umno Permatang Pauh yang enggan disiarkan namanya berkata, walaupun sokongan pengundi kepada Umno telah meningkat tetapi parti perlu mengambilkira kehadiran semula Anwar dalam politik negara khususnya di Permatang Pauh.
Katanya, adalah terlalu awal untuk mengatakan semua ahli Umno yang sebelum ini menyokong pembangkang telah kembali semula ke pangkuan Umno.
"Anwar masih mempunyai pengaruh di Permatang Pauh dan kehadirannya pasti menyukarkan Umno, lebih sukar jika beliau sendiri bertanding di kerusi tersebut," katanya.
Sehingga hari ini pun, tambahnya, Umno sukar mendapat sokongan di kalangan pengundi baru terutama golongan muda kerana mereka lebih cenderung kepada pembangkang terutama PKR.
Katanya, Umno juga perlu memantau mengenai ramai golongan profesional di Permatang Pauh yang berpendirian tidak menyokong mana-mana pihak tetapi sebenarnya cenderung kepada pembangkang.
"Kita mendapat tahu mereka memberi sokongan secara diam kepada PKR kerana bersimpati dengan Anwar," katanya.

