Badan antarabangsa batal hasrat pantau p'raya M'sia
Badan pemantau antarabangsa telah membatalkan hasrat mereka untuk memantau perjalanan pilihanraya umum setelah kerajaan tidak memberi sebarang jawapan terhadap permohonan mereka untuk berbuat demikian, kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim.
Badan pemantau antarabangsa telah membatalkan hasrat mereka untuk memantau perjalanan pilihanraya umum setelah kerajaan tidak memberi sebarang jawapan terhadap permohonan mereka untuk berbuat demikian, kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim.
Menurutnya, perkara itu telah telah dimaklumkan oleh pemantau tersebut kepada PKR.
"Salah sebuah badan pemantau tersebut ialah Carter Centre yang berpengkalan di Amerika Syarikat yang mempunyai pengalaman menjadi pemantau pilihanraya di seluruh dunia.
"Tiga pemantau lain juga mengambil keputusan yang sama setelah tidak mendapat jawapan dari kerajaan," kata Khalid (foto) dalam sidang media mingguan di ibu negara hari ini.
Bagaimanapun, bekas calon PKR dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok itu enggan memberitahu nama tiga lagi pemantau tersebut, selain mengatakan mereka pernah menjadi memantau pilihanraya di negara lain.
Hadir sama Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah; Bendahari Agung, Willian Leong dan Ketua Penerangan, Tian Chua.
Khalid berkata, PKR sebelum ini telah meminta beberapa pemantau antarabangsa memantau perjalanan pilihanraya di negara ini ekoran laporan yang mendakwa ianya tidak adil dan tidak telus.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberi peluang yang sama kepada parti pembangkang untuk berkempen dalam pilihanraya umum akan datang.
'Bermain wayang'
Katanya, apa yang sering berlaku ialah pembangkang sering dianaktirikan, termasuk mendapatkan permit mengadakan ceramah walaupun permohonan dikemukakan lebih awal sepertimana yang disyaratkan.
"Contoh seperti ini memang banyak berlaku dalam kempen pilihanraya di negara kita dan ia merupakan petanda yang tidak baik kepada demokrasi," katanya.
Menurut Khalid lagi, kerajaan juga perlu mengumumkan tarikh pilihanraya lebih awal, sekurang-kurang tiga bulan seperti yang dilakukan di beberapa negara lain.
Sementara itu, Tian Chua pula berkata, dua parti komponen Barisan Nasional (BN) - Umno dan MCA - sedang bermain wayang untuk mendapatkan sokongan menjelang pilihanraya umum akan datang.
Katanya, ia berlaku dalam Mesyuarat Tahunan MCA baru-baru ini, apabila Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai membaca tuntutan dalam bahasa Cina.
"Parti itu mahu menunjukkan kepada kaum Cina bahawa MCA mempertahankan hak-hak orang Cina di dalam negara ini," katanya.
Dalam mesyuarat Pemuda MCA di Melaka Sabtu lalu, Liow membaca tuntutan MCA dalam bahasa Cina dan ini menyebabkan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang hadir dalam mesyuarat tersebut tidak dapat memahami ucapan tersebut.
Ucapan Liow tersebut antara lain meminta rakyat supaya menjulang Perlembagaan Persekutuan dan bukannya keris.

