Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr M tak suka mengalah, tapi kali ini dia kalah - Puad
Diterbitkan:  Aug 13, 2024 2:40 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata mengenali Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri itu bukanlah seorang yang suka mengalah.

Bagaimanapun, Mohd Puad berkata kali ini bekas presiden Umno itu sudah kalah dalam perjuangan politiknya menentang Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Mohd Puad berkata, segala yang dilakukan Dr Mahathir telah gagal termasuk Umno tidak mati, Anwar Ibrahim berjaya menjadi perdana menteri, manakala anaknya, Mukhriz tersisih daripada dunia politik.

Kata Mohd Puad, Mahathir hanya berjaya memenjarakan bekas perdana menteri, Najib Razak sahaja.

“Oleh itu, sumbangan Zahid jatuhkan kerajaan 22 bulan Tun adalah benar. Sumbangan Zahid jatuhkan kerajaan 17 bulan Muhyiddin juga benar. Dan sumbangan Zahid Umno berkongsi kuasa hari ini juga benar.

“Tun M tidak suka mengalah. Kali ini dia kalah. Umno masih ada tempat berbakti kepada rakyat. Berehatlah Tun. Jasa mu tetap dikenang,” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Nasihat Mahathir tak laku

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata kenyataan bekas ahli Parlimen Langkawi itu bahawa dia meletakkan jawatan sebagai perdana menteri atas kerelaannya dan bukan kerana Ahmad Zahid adalah benar.

“Tun M kata dia letak jawatan atas kerelaannya. Bukan kerana Zahid. Dia berbuat demikian kerana Bersatu tidak mahu mendengar nasihatnya.

“Itu betul. Nasihatnya tidak lagi laku. Usaha terakhir untuk jadi perdana menteri interim bukti dia tidak mahu lepas jawatan. Itu pun gagal. Terpaksalah dia letak jawatan.

“Ketika itu PKR dan DAP mahu Tun M kekal. Mahathir tubuh Pejuang untuk kembali jadi perdana menteri. Tetapi times over,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mendedahkan dia ialah dalang utama menjatuhkan Mahathir sebagai perdana menteri dalam usaha menyelamatkan tindakan mengharamkan Umno.

Bagaimanapun, Mahathir menafikan kenyataan bahawa Ahmad Zahid menjatuhkannya dan Presiden Umno berkenaan bukan hero yang menyelamatkan parti keramat orang Melayu itu.

Zahid hero penting selamatkan Umno

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii berkata Ahmad Zahid mungkin bukan hero kepada sesiapa tetapi dia ialah individu yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan Umno, terutama dalam situasi yang mencabar.

“Zahid mengambil alih kepimpinan parti dalam keadaan yang sangat genting. Walaupun berdepan tekanan dan cabaran dalaman serta luaran, beliau berusaha keras untuk memastikan Umno terus relevan dan dapat bangkit semula.

“Dalam tempoh kepimpinan beliau, Ahmad Zahid berjaya mengukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli Umno yang terpecah selepas PRU14.

“Ahmad Zahid memainkan peranan penting dalam menyatukan fraksi-fraksi yang berbeza dalam parti, sekali gus mengelakkan perpecahan lebih besar,’ katanya.

Menurut Razlan Ahmad Zahid juga merupakan tokoh penting dalam membentuk kerjasama politik dalam kerajaan.

"Begitu juga kerjasama dengan PH melalui kerajaan perpaduan atas nasihat Yang di-Pertuan Agong. Walaupun bukan sebagai kerajaan dominan, kerjasama ini membolehkan Umno memainkan peranan dalam kerajaan dan memperkukuh kedudukannya di arena politik negara.

Katanya, walaupun berdepan pelbagai tuduhan dan tekanan politik, Ahmad Zahid memilih untuk kekal dalam Umno dan berjuang dari dalam.

"Ini menunjukkan keazaman dan kesetiaannya kepada parti, walaupun dalam keadaan yang sangat sukar. Tindakannya ini dilihat sebagai pengorbanan peribadi demi kelangsungan Umno.

Tambah Razlan, ahli Parlimen Bagan Datoh itu juga mengambil langkah memastikan aset-aset penting Umno tidak hilang atau dibekukan oleh pihak berkuasa dengan mengambil tindakan undang-undang untuk mempertahankan hak milik parti itu.

“Peranan dan jasa Zahid Hamidi ini menjadikannya seorang 'hero' tokoh penting dalam usaha menyelamat dan mengembalikan kekuatan Umno di pentas politik Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS