Tak semudah itu bergelar wartawan, Geramm ingatkan KJ
Sebuah kumpulan wartawan pada Rabu mengingatkan Khairy Jamaluddin yang menyifatkan dirinya sebagai orang media bahawa tidak semudah itu menjadi wartawan.
Ini selepas bekas menteri kesihatan itu menganggap podcast Keluar Sekejap bersama rakan hos Shahril Suffian Hamdan sebagai sebahagian daripada media.
Dalam satu kenyataan, Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkata mereka menghargai solidariti daripada kedua-dua bekas pemimpin Umno itu dengan wartawan Malaysiakini yang sedang disiasat berhubung laporan mengenai dakwaan rombakan pimpinan tertinggi polis.
“Terima kasih atas solidariti bersama #kawangeramm dari Malaysiakini, tapi tak semudah itu untuk layak bergelar wartawan," kata kumpulan itu dalam kenyataan yang disertakan slogan “menolak lupa”.
Dalam episod podcast terbaru mereka, Khairy dan Shahril membincangkan isu siasatan polis terhadap wartawan Malaysiakini.
Khairy merujuk wartawan yang disiasat sebagai "sahabat-sahabat kita Malaysiakini."
Dalam gurauan ringkas, Shahril mencelah, "Oh dia dah jadi sahabat eh?" dan Khairy menjawab, "Ya sebab kita press (media) kan? Kita KS Media".
Semasa berkhidmat sebagai ketua Pemuda Umno serta menteri belia dan sukan, Khairy sekurang-kurangnya dua kali pada 2017 menyasarkan wartawan Malaysiakini malah menuduh portal itu sebagai "penyalur kewartawanan berat sebelah".
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/05/fe0ba8a2e45f29fa19d4168f3b604668.jpg)
