Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa kajian membabitkan 500 pengundi di DUN Nenggiri mendapati sebahagian besar menyatakan sokongan kepada calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail.
Muhyiddin berkata sebahagian besar mereka secara terbuka menyatakan untuk memilih ‘bulan’ - merujuk kepada logo PAS - pada pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri esok.
"Tinjauan 500 pengundi sebahagian besar menyatakan akan menyokong bulan. Mereka menyatakan secara terbuka, menyatakan sebab musabab (menolak kerajaan pusat).
"Sebahagian mereka berpendapat kerajaan ini gagal menerajui negara. Sebahagian besar menolak Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
"Bukan saya kata, mereka kata hasil kajian yang dibuat," katanya ketika ceramah Grand Finale Perikatan Nasional di Kampung Jerek, Gua Musang di Kelantan malam tadi.
Muhyiddin bagaimanapun tidak memperincikan pihak yang menjalankan kajian atau kaedah kajian itu.
Hadir sama Presiden PAS Abdul Hadi Awang, timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin dan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin, serta Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud.
Lebih baik zaman Covid-19
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, hasil tinjauan juga mendapati rata-rata pengundi gembira ketika era pentadbirannya sebagai perdana menteri berbanding Anwar, meskipun sebahagiannya adalah ketika pandemik Covid-19.
"Masalah pokok hari ini rakyat sedang menderita, lebih baik zaman Covid-19 kata mereka, saya bukan nak mendabik dada, ini kajian, kita bukan buat memandai," katanya lagi.
Oleh itu, Muhyiddin berharap agar pengundi memberi sokongan kepada calon mereka pada pilihan raya esok.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.
Calon PAS Mohd Rizwadi bakal dicabar calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.