Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membidas Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana menyalahkan media rasmi PKR, Suara Keadilan yang didakwa menyunting klip video ucapan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Rayer turut mengulas tindakan Muhyiddin mempertahankan kenyataan dibuatnya di Felda Perasu, Kelantan, semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, yang menimbulkan kemarahan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

“Wan Ahmad Fayhsal sepatutnya jadi anak jantan, berhenti menyalahkan orang lain dan beritahu Muhyiddin untuk juga menjadi anak jantan dan berdepan pertuduhan di mahkamah jika betul ucapannya ialah fakta seperti didakwa.

"Muhyiddin kemudiannya boleh membela diri apabila didakwa di mahkamah jika ucapannya itu benar.

"Malah, polis kini patut menyiasat Pemuda Bersatu kerana membuat laporan palsu," tambah Rayer.

Dia mengulas kenyataan Wan Fayhsal selepas satu laporan polis dibuat terhadap Suara Keadilan pagi ini.

Laporan itu dibuat Pengarah Pilihan Raya Pemuda PN, Akmal Zahin Zainal Zahir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Laporan itu mendakwa portal berkenaan menerbitkan klip video yang disunting dengan niat jahat untuk mencemarkan nama baik Muhyiddin selaku pengerusi PN

Ucapan Muhyiddin baru-baru ini menimbulkan kemarahan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam satu kenyataan Tengku Hassanal berkata ucapan Muhyiddin bersifat sinis, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih perdana menteri.

Dalam ucapan pendek tersebar itu, Muhyiddin dilaporkan menyebut bahawa agong sebelum ini tidak mengundangnya mengangkat sumpah perdana menteri walaupun dia mempunyai sokongan cukup anggota parlimen.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan polis menerima 29 laporan berhubung isu itu, dan bekas perdana menteri itu akan dipanggil untuk memberi keterangan esok.

‘Jangan putarbelitkan fakta’

Sementara itu Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan mengingatkan Wan Ahmad Fayhsal supaya tidak memutarbelitkan fakta dan berada dalam sindrom penafian.

Menurutnya kenyataan Muhyiddin secara jelas dan terang merupakan satu bentuk hasutan dan cubaan untuk merendahkan kewibawaan Yang Dipertuan Agong ketika itu iaitu Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pelantikan Perdana Menteri ke-10.

"Wan Ahmad Fayhsal perlu berhenti memutarbelitkan fakta dan bersikap baling batu sembunyi tangan terhadap isu ini.

“Hakikatnya, beliau sendiri perlu menasihati Muhyiddin Yassin supaya menghormati institusi raja dan menerima hakikat bahawa beliau tidak dilantik menjadi Perdana Menteri pada November 2022," katanya dalam kenyataan.