Bersatu masih teliti secara halus ucapan Muhyiddin
Pimpinan Bersatu sedang meneliti secara “halus” isu melibatkan ucapan presidennya Muhyiddin Yassin yang didakwa mempertikai keputusan yang di-pertuan agong dalam melantik perdana menteri.
Setiausaha agungnya Hamzah Zainudin berkata mereka memberikan kepercayaan penuh kepada Muhyiddin.
Katanya, pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga akan menghormati lunas perundangan dengan memberikan keterangan kepada polis esok.
“Semua pihak juga diseru supaya bertenang dan berdoa kepada Allah SWT agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” kata Hamzah yang juga ketua pembangkang.

Muhyiddin dijadual memberikan keterangan kepada polis di pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Kuala Lumpur pada jam 11 pagi esok.
Siasatan itu dibuat susulan 30 laporan polis, termasuk oleh istana Pahang, terhadapnya kerana didakwa mempertikai keputusan yang di-pertuan agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik perdana menteri.
Muhyiddin dilaporkan menyebut bahawa agong tidak mengundangnya mengangkat sumpah perdana menteri walaupun mempunyai sokongan cukup anggota parlimen.
Kenyataan itu turut membuatkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah murka atas tindakan “memperlekeh” tugas Al-Sultan Abdullah ketika menjadi agong.
Muhyiddin bagaimanapun menegaskan kenyataannya di Nenggiri, Kelantan itu bukan bertujuan menghina institusi raja tetapi hanya menyatakan “fakta”.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/08/f3fd51e81f0d1837a8e51c404e06ff85.jpg)
