PAU 2024 | Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat bahawa parti Melayu itu boleh menewaskan musuh politiknya dan memenangi mana-mana pilihan raya akan datang sekiranya ahlinya bersatu.
Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani berkata perkara itu dinyatakan Ahmad Zahid dalam taklimat presiden sempena perhimpunan agung parti itu hari ini.
“Presiden menekankan betapa pentingnya semua ahli Umno ini perlu bersatu padu untuk berdepan dengan mana-mana musuh politik. Maknanya, kalau kita semua bersatu padu, tempat yang kita rasa tak boleh menang pun kita akan menang.
“Sebab yang kita lawan ini adalah semua daripada mereka yang telah lari daripada perjuangan Umno.
“Jadi, kalau kita bersatu padu insya-Allah kemenangan akan berpihak pada kita,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Presiden Umno, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024, hari ini.
‘Pendekatan tak boleh lagi statik’
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata taklimat presiden kali ini banyak menyentuh kejayaan parti itu merampas semula kerusi DUN Nenggiri dalam pilihan raya kecil (PRK), baru-baru ini.
Kata Mohd Puad, momentum kemenangan itu perlu diterjemahkan kepada usaha mempertahankan kerusi DUN Mahkota September ini.
“Sudah tentu (taklimat) presiden banyak menyentuh tentang kemenangan di Nenggiri di mana selepas ini kita ada PRK Dun Mahkota.
“Point dia adalah bahawa sekarang ini kita perlu lakukan pengubahsuaian untuk berhadapan dengan pilihan raya ini mengikut kepada landskap politik tempatan tersebut.
“Jadi, Umno tidak lagi boleh statik dari segi pendekatan untuk memenangi hati pengundi supaya Umno dilihat terus relevan,” katanya yang juga Speaker DUN Johor.
Mengenai pemilihan calon di kerusi DUN Mahkota, Mohd Puad berkata Ahmad Zahid menekankan bahawa sebarang keputusan yang diambil perlu diterima oleh semua pihak.
BN pada masa ini masih belum memuktamadkan calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Mahkota yang adakan diadakan pada 28 September depan.
Ahmad Zahid sebelum ini berkata, mesyuarat mengenai perkara itu akan diadakan minggu depan yang melibatkan Badan Perhubungan Umno Johor dan BN.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain daripada Umno pada 2 Ogos lalu.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Bahagian Setiawangsa, Asya Rahman menyifatkan taklimat disampaikan presiden Umno hari ini sebagai pesanan daripada "bapa kepada anak-anaknya".
“Antara intipati penting adalah bagaimana kita perlu bersama dan bersedia menghadapi PRK DUN Mahkota nanti dan juga gerak kerja daripada Nenggiri, di mana kita akan perkukuhkan dan kita akan lakukan dan buktikan pula di PRK Mahkota,’ katanya.
Pada sidang media selepas itu, Ahmad Zahid berkata kesemua calon daripada parti itu akan bertanding menggunakan logo BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun, pengerusi BN itu berkata Umno akan meneruskan kerjasama dengan kesemua 18 parti yang kini membentuk kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
