Pemimpin DAP menafikan mesej yang sedang tular di media sosial berkenaan nama Jalan Yap Ah Loy di Kuala Lumpur ditukar kepada Jalan Palestin.
Ahli parlimen Bangi Syahredzan Johan menegaskan dakwaan yang disebarkan di TikTok itu palsu.
Sebaliknya, kata Syahredzan jalan yang ditukar namanya kepada Jalan Palestin itu merupakan Jalan Raja Laut 1 dan ia dilakukan kira-kira empat tahun lalu.
“Dekat TikTok tersebar kononnya Jalan Yap Ah Loy ditukar jadi Jalan Palestin dan digambarkan kononnya baru dibuat.

“Ini palsu. Yang tukar Jalan Palestin adalah Jalan Raja Laut 1. Penukaran dibuat empat tahun lepas, pada tahun 2020. Jangan terpengaruh dengan kepalsuan," kata Syahredzan di laman sosialnya X.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menggesa orang ramai supaya tidak berkongsi khabar angin yang tidak disahkan itu.
Menjawab isu itu melalui kumpulan Whatsapp rasmi DAP, Teo berkata seseorang boleh menyemak dalam talian dengan mudah dan mendapati Jalan Palestin dan Jalan Yap Ah Loy terletak di dua lokasi berbeza di pusat bandar itu.
“Tak pasti jangan kongsi, semak sebelum sebar,” katanya merujuk kepada slogan kerajaan yang menasihati orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang maklumat yang mereka tidak pasti kesahihannya dan sentiasa menyemak sebelum menghantar sebarang mesej.

Menurut laporan berita lepas, Jalan Raja Laut 1 telah dinamakan semula sebagai Jalan Palestin pada 27 September 2020.
Bernama memetik Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata langkah berkenaan melambangkan sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang penindasan dan ke arah negara Palestin yang merdeka.
