Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mencabar di mahkamah pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 kerana mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, Majlis Am MTUC mengambil pendirian tegas menolak pindaan-pindaan yang dibuat dalam rang undang-undang tersebut berdasarkan faktor-faktor tersebut:

Kedua-dua pindaan AKta Perhubungan Persekutuan dan Kesatuan Sekerja merangkumi hak perlindungan Bahagian 11 Perlembagaan Persekutuan (Artikel 5(1), 10 (1)(c).

Selain Artikel 1(3) Piagam PBB (yang menghendaki ahli-ahlinya termasuk Malaysia menghormati hak-hak kemanusiaan), MTUC merasakan undang-undang tempatan (Akta Hak Kemanusiaan) berhubung rapat dengan Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948 dan undang-undang tempatan (Seksyen 2 dan 4(4).

Oleh itu yang demikian, kata Syed Shahrir, pindaan-pindaan tersebut sememangnya bercanggah dengan Akta Hak Asasi Manusia dan undang-undang hak asasi manusia.

Salah satu kes (R Ramachandran) memperjelaskan hak-hak penghidupan contohnya hak terhadap mangsa pembuangan kerja secara tidak adil dllindungi oleh akta dalam bahagian 11 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, jelaslah pindaan-pindaan tersebut mempunyai hubungan yang rapat dengan undang-undang tertinggi negara dan oleh yang demikian ia adalah tidak sah berdasarkan Artikel 4 (1) Perlembagaan Negara.

Cabar pindaan

Pindaan yang diluluskan itu sememangkan akan memalukan Malaysia dalam persidangan antarabangsa terutamanya artikel 1 (3) Piagam PBB yang dipersetujui.

Perkara demikian tidak harus berlaku di Malaysia yang menyambut 50 tahun kemerdekaan, malah dalam menerajui kemajuan di masa hadapan.

Menurut Syed Shahir, memandangkan pindaan-pindaan tersebut telah diluluskan di Parlimen semalam, selain mencabar pindaan itu di mahkamah, Majlis Am MUTC juga memutuskan untuk membuat aduan kepada Suhakam mengikut seksyen 12 dan 13 Akta Hak Asasi Manusia untuk tindakan yang berpatutan.

Majlis Am MTUC juga, katanya, akan membawa perkara itu ke persidangan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) kerana melanggar Piagam PBB dan Piawaian ILO.

"MTUC sekali lagi ingin memaklumkan bahawa pindaan-pindaan yang diluluskan itu adalah jelas bertentangan dengan keyakinan mutlak yang dijanjikan oleh Menteri Sumber Manusia dalam mesyuarat Majlis Tindakan Buruh Kebangsaan (NLAC) .

"Atas landasan perjanjian tiga pihak (tripartism), MTUC menyeru kerajaan menarik balik kelulusan terhadap pindaan-pindaan kedua-kedua ruang undang-undang supaya keutamaan dan pendapat boleh diperbincangkan dengan lebih berkesan dalam mesyuarat NLAC," katanya