Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari 9: Pasukan SAR tetap komited kesan mangsa lubang benam
Diterbitkan:  Aug 31, 2024 10:41 AM
Dikemaskini: 2:47 AM

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terus komited untuk mengesan mangsa insiden lubang benam di Jalan Masjid India yang operasi pencariannya memasuki hari kesembilan kini.

Lebih 115 anggota dan pegawai yang terlibat dalam operasi tersebut membabitkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Awam, Indah Water Konsortium, Agensi Nuklear Malaysia serta Jabatan Mineral dan Geosains.

Tinjauan Bernama di lokasi kira-kira jam 9.30 pagi tadi mendapati pasukan SAR sudah bersedia untuk meneruskan operasi pencarian mangsa, namun belum ada sebarang pergerakan dilihat.

DBKL dalam kenyataan semalam memaklumkan operasi SAR pada hari kelapan diteruskan pada sebelah malam.

Difahamkan, pasukan SAR malam tadi meneruskan operasi sehingga 4 pagi menggunakan kamera teleskopik bagi melihat imej lebih jelas terutama di lurang kumbahan dua di kawasan pencarian yang dikesan tersumbat akibat sisa sampah dan longgokan (backlog).

Kamera tersebut mempunyai gabungan teknologi yang terdapat pada kamera push rod dan crawler yang digunakan sebelum ini.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan usaha pencarian berkenaan memaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, dijangka membuat sidang media berhubung kejadian berkenaan pada jam 2 petang ini.

Pada 23 Ogos lalu seorang wanita warga India G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden malang berkenaan semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk kaedah jetting, flushing dan menyedut air keluar dari lokasi kejadian, dalam usaha mengesan mangsa.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS