Menjelang sambutan kemerdekaan negara yang ke-50, khabar angin mengenai perselisihan kaum di dua bandar di Johor telah tersebar sejak Ahad lalu melalui mesej pesanan ringkas (SMS).

Bagaimanapun, pihak berkuasa telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Kandungan SMS tersebut berbeza tetapi intipatinya adalah sama - satu insiden didakwa berlaku yang membabitkan orang Melayu dan India di Masai dan Pasir Gudang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pihak polis telah menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut, tetapi pihak berkuasa tetap mengambil langkah berjaga-jaga - saksi-saksi melaporkan bahawa polis telah mengadakan beberapa sekatan jalanraya.

Pasir Gudang terletak kira-kira 35km di timur Johor Bahru manakala Masai terletak lebih dekat.

Di salah satu tempat tersebut, saksi berkata, polis memeriksa kenderaan dari Masai yang masuk ke Taman Cendana di Pasir Gudang.

Ketika dihubungi, Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata beliau telah diberitahu bahawa kira-kira 10 sekatan jalanraya diadakan malam tadi, antara Johor Bahru dengan Pasir Gudang.

Kehadiran ramai anggota polis yang untuk menenang keadaan, turut mencetuskan rasa kebimbangan.

"Orang ramai percaya, kehadiran anggota polis itu bermakna keadaan, seperti dalam khabar angin itu, adalah benar," kata Khairul.

"Ia jadi perbualan di warong. Wujud rasa syak wasangka di kalangan orang Melayu dan India apabila mereka terserempak di tempat awam," katanya.

Majlis taklimat

Pelbagai pihak, termasuk parti-parti politik, telah turut berusaha untuk memadamkan kebimbangan orang ramai itu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Ketua Polis Johor Bahru Selatan, ACP Roslan Ahmad telah mengadakan majlis taklimat di sebuah sekolah di Taman Cendana malam tadi dan dihadiri oleh kira-kira 300 penduduk.

Risalah diedarkan di majlis tersebut meminta orang ramai supaya bertenang dan jangan mempercayai khabar angin tersebut (di bawah).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas Jaya KS Balakrishnan, berkata penduduk telah diberi jaminan tiada sebarang kebenaran dalam khabar angin yang disebarkan itu. Taman Cendana terletak dalam kawasan pilihanraya Pemas Jaya.

Balakrishnan tidak bersetuju dengan anggapan bahawa kehadiran ramai anggota polis menjadi punca timbulnya kebimbangan di kalangan penduduk.

"Kerana khabar angin tersebut, maka kita mesti meningkatkan langkah untuk memastikan keselamatan. Ini biasa," katanya kepada malaysiakini.

Timbalan Ketua Umno Pasir Gudang, Ibrahim Abdul Ghaffar berkata keadaan di Taman Cendana dan Permas Jaya adalah "biasa".

"Tiada trak Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di kedua-dua tempat tersebut. Orang ramai menjalankan aktiviti seperti biasa.

"Saya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas Jaya, Datuk KS Balakrisnan melawat kedua-dua tempat semalam dan pagi ini tetapi tiada apa-apa pergaduhan berlaku di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Para saksi telah mendakwa terdapat trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan di dua lokasi tersebut, tetapi mereka tidak nampak anggota FRU ditugaskan di situ.

Sementara itu, khabar angin tersebut, telah mencetuskan perbincangan dalam forum di internet dan blog. Antaranya adalah forum internet dalam bahasa Malaysia - cari.com.my - dan forum dalam Mandarin - jbtalks.cc. Berita asal