Fauzi: Laporan polis, tapi BPR yang siasat
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman hairan dan kecewa kerana beliau membuat laporan polis terhadap bekas Menteri Besar Pahang, Tun Mohd Khalil Yaakob, tetapi Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang mengambil kenyataan daripadanya.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman hairan dan kecewa kerana beliau membuat laporan polis terhadap bekas Menteri Besar Pahang, Tun Mohd Khalil Yaakob, tetapi Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang mengambil kenyataan daripadanya.
Dalam laporan polisnya, Fauzi mendakwa bekas Menteri Besar Pahang itu terbabit dengan penyelewengan dan salahguna kuasa membabitkan kelulusan kawasan balak.
Menurut bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan itu, pihak polis tidak pernah menyiasat laporan yang dibuatnya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 28 Mac 2001.
Katanya, beliau juga tidak pernah membuat sebarang laporan kepada BPR berhubung dakwaan tersebut.
Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, Fauzi berkata, beliau didatangi pegawai BPR untuk mengambil kenyataannya mengenai dakwaan tersebut, kira-kira dua atau tiga bulan seleps beliau membuat laporan polis.
Beliau, bagaimanapun, tidak puas hati dengan tindakan BPR kerana menyifatkan kes tersebut tiada kena mengena dengan badan pencegah rasuah tersebut.
'Saya membuat laporan mengenai salah guna kuasa dan penyelewengan, dan bukannya isu rasuah.
Status laporan
"Ini isu polis (salah guna kuasa dan penyelewengan) dan tiada kena mengena dengan BPR. Kalau benar-benar hendak siasat, polis yang datang, bukannya BPR.
"Bagi saya, polis tidak mempunyai keinginan untuk menyiasat kes tersebut. Saya juga hairan mengapa BPR yang datang sedangkan saya tidak membuat laporan kepada mereka," katanya ketika dihubungi di Kuantan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status laporan polis yang dibuatnya terhadap Khalil yang kini menjadi Yang diPertua Negeri Melaka.
Falam laporan polis itu, Fauzi mendakwa Khalil sebagai Menteri Besar Pahang ketika itu, meluluskan konsesi hutan kekal dengan tidak menghiraukan kuota yang ditetapkan oleh Dasar Hutan Negara.
Dalam aduan itu, Fauzi mendakwa Khalil, yang juga Setiausaha Agung Umno ketika itu, telah mengagihkan kawasan balak tanpa mengikut kuota yang ditetapkan oleh Dasar Perhutanan Negara ketika memimpin Pahang antara 1986 hingga 1999.
Fauzi, dalam laporan itu juga, menyebut bahawa tindakan Khalil itu "menjejaskan sumber kewangan dan aliran tunai" kerajaan Pahang sekarang akibat hasil kawasan pembalakan bernilai RM300 juta hingga RM900 juta setahun, telah dibuka lebih awal.
Laporan ketiga
Sementara itu, bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat Pahang, Razali Alias yang turut membuat laporan polis mengenai dakwaaan yang sama terhadap Khalil, juga belum menerima sebarang berita mengenai perkara tersebut.
Katanya, beliau membuat laporan tersebut di IPD Kuantan pada 4 April 2001.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis tidak pernah menghubungi beliau untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.
"Apa sudah berlaku dengan laporan tersebut, adakah polis telah menjalankan siasatan ke atas Khalil?
"Jika belum, mengapa siasatan tidak dibuat? Kalau sudah disiasat, bagaimana dengan statusnya kerana saya sebagai pengadu, saya mahu tahu kedudukan terkini kes tersebut," katanya.
Jumaat lalu, Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) Pahang, Mohd Zukri Aksah membuat laporan di IPD Kuantan meminta pihak polis menyiasat dakwaan terhadap Khalil itu.
Laporan Gerak Pahang itu merupakan yang ketiga terhadap Khalil - selepas Fauzi dan Razali.

