Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN pertaruh ketua Pemuda Umno Kluang di Mahkota
Diterbitkan:  Sep 7, 2024 6:24 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah akan bertanding sebagai calon BN pada pilihan raya kecil (PRK) Mahkota akan datang.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi yang juga pengerusi BN Johor mengumumkan keputusan meletakkan Syed Hussien.

Onn menyifatkan Syed Hussien sebagai calon boleh menang, disenangi dan boleh diterima pengundi.

“Calon yang bakal diumumkan ini adalah calon yang boleh menang, disukai dan boleh diterima, insya-Allah," kata Onn yang juga pengarah pilihan raya kecil BN di Kluang, Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 Sept sebagai hari pengundian bagi PRK Mahkota, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

Meneruskan legasi

Pada sidang media selepas majlis itu, Syed Hussien berikrar untuk meneruskan legasi Sharifah Azizah.

“Allahyarham sangat berjasa (kepada masyarakat) di kawasan ini dan saya selaku calon akan meneruskan apa (inisiatif dan kerja) yang dibuat beliau,” kata ahli perniagaan berusia 40 tahun itu, seperti dipetik Bernama.

Ahli Majlis Perbandaran Kluang itu turut mengucapkan terima kasih kepada Onn, Zahid, serta Ketua Umno Kluang Jais Sarday atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Pada pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022, Sharifah yang mewakili BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,166 undi.

Sebelum ini, semasa perhimpunan agung tahunan Umno yang tamat baru-baru ini, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad meminta sayapnya diberi peluang bertanding di kerusi itu.

Pada masa yang sama, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mencadangkan Syed Hussien sebagai calon.

Dalam ucapannya sebelum mengumumkan calon, Onn meminta semua sayap parti menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.

“Kepada semua jentera-jentera yang berkumpul pada petang ini, kita ambil pengajaran, kita ambil panduan daripada bakal calon ini.

"Kalau mereka boleh terima dengan hati yang terbuka, saya juga minta supaya jentera kita juga terima keputusan pucuk pimpinan ini dengan hati terbuka," katanya.

Presiden Umno yang juga Pengerusi BN yang hadir acara itu mengarahkan calon yang menang supaya mendekatkan diri dengan jentera dan penyokong parti dalam tempoh tujuh hari menjelang hari penamaan calon.

"Kita tidak mahu ada masalah besar selepas mengumumkan calon," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS