Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenyataan Tuan Ibrahim 'buruk sangka' - Lip Eng lapor polis
Diterbitkan:  Sep 13, 2024 10:40 AM
Dikemaskini: 2:40 AM

Ahli Parlimen Kepong membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man kerana mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman.

Ini selepas Tuan Ibrahim berkata apabila orang Cina atau India bercakap dalam bahasa ibunda mereka, orang Melayu akan bersangka buruk.

“Kenyataannya bukan sahaja tidak tepat, malah bersifat perkauman dan berpotensi memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” kata Lim pada laporan polis yang dikongsikan kepada media.

Dia menggesa pihak polis untuk menyiasat kenyataan tersebut, terutama di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan "dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan"

Selain itu, dia juga meminta siasatan dilakukan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan mengenai "kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan, atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap Negara atau terhadap ketenteraman awam."

Tuan Ibrahim membuat kenyataan itu pada malam Rabu dalam satu sidang media di Temerloh, Pahang selepas merasmikan muktamar Pemuda PAS.

Semasa mengulas mengenai keharmonian kaum, pemimpin nombor dua PAS itu berkata buruk sangka menjadi salah satu faktor utama yang memecahbelahkan masyarakat yang didakwanya diperburuk oleh perbezaan bahasa.

“Salah satu faktor kecurigaan ialah kerana faktor bahasa. Sebab itu kita kena garab bahasa Malaysia sebagai bahasa perantara.

“Kalau setiap kaum cakap bahasa dia, dia akan timbul buruk sangka. Sebab saya tak faham dia cakap apa. Orang Cina akan cakap Cina, orang Melayu tak faham. Jadi akan timbul buruk sangka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS