Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan lelaki pukul dan ugut bakar anak kandung
Diterbitkan:  Sep 20, 2024 1:17 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Polis malam tadi menahan seorang lelaki kerana didakwa memukul serta mengugut untuk membakar anak kandungnya sendiri kerana enggan menceraikan isterinya.

Dalam video yang dihantar kepada isterinya, lelaki berkenaan meletakkan anaknya di tengah-tengah pusat pembakaran sampah dengan dikelilingi api.

Kanak-kanak berusia dua tahun itu dilihat meraung sambil berdiri di dalam lingkaran yang kelihatan seperti cincin api dan dia berada kira-kira 30 cm dari api. 

Penahanan lelaki itu dibuat selepas pihak polis menerima aduan dibuat oleh isterinya lewat petang semalam.

Kosmo! memetik Ketua Polis Daerah Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu sebagai berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam tadi di sebuah perhentian bas berhampiran SMK Maran 2 di Maran.

Dia dipercayai cuba melarikan diri bersama kanak-kanak itu. 

Menurut laporan polis, pengadu mendakwa lelaki berkenaan telah melafazkan cerai (talak) terhadapnya dan menghalaunya keluar dari rumah pada 15 Sept.

Seorang lelaki Islam boleh melafazkan cerai secara lisan, namun, di bawah Enakmen Syariah Malaysia lafaz talak mesti disahkan oleh Mahkamah Syariah. 

Wan Mohd Zahari berkata, wanita terbabit itu pulang ke rumah bapanya di Beserah kira-kira jam 5.25 petang pada 17 Sept dan menerima beberapa video daripada bekas suaminya malam itu dan keesokan harinya.

Selain video anaknya diletakkan di tengah lingkaran api, dia juga turut menerima video lelaki itu memarahi dan memukul anaknya itu yang dalam ketakutan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS