Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
19 premis terkait GISBH di Kota Bharu tutup sepenuhnya - MPKB

Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengesahkan bahawa 19 premis yang dioperasikan oleh GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) untuk pelbagai jenis perniagaan di sekitar Kota Bharu telah berhenti beroperasi.

Yang Dipertua MPKB-BRI Mohd Anis Hussein berkata berdasarkan rekod, premis-premis tersebut telah dioperasikan oleh GISBH sejak tahun 2010, merangkumi perniagaan dalam sektor perhotelan, kedai serbaneka, kedai roti, dobi, restoran, pusat latihan, dan pusat rawatan.

"Setakat yang dikesan dalam sistem, semua premis ini berlesen," katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Anis berkata pemantauan oleh pihak penguat kuasa MPKB-BRI mendapati kesemua premis itu ditutup, dipercayai selepas penahanan pimpinan tertinggi GISBH.

Menurutnya, sebahagian daripada premis yang dikendalikan oleh GISBH telah membuang papan tanda mereka untuk mengelak daripada dikaitkan dengan organisasi tersebut, sama ada oleh pemilik asal premis atau penyewa.

Pada 11 Sept, polis melalui Op Global menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja daripada 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.

Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu yang ada kaitan dengan GISBH. 

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS