Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang Asli antara yang awal keluar mengundi
Diterbitkan:  Sep 28, 2024 10:38 AM
Dikemaskini: 2:38 AM

PRK MAHKOTA | Pengundi Orang Asli antara yang terawal keluar menunaikan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat hari ini.

Tok Batin Kampung Tanah Runtuh di Kluang, Mohd Noorsham Abdullah, 49, berkata selaku pemimpin dia bangun seawal jam 6 pagi untuk mengajak penduduk kampung keluar mengundi.

“Kami datang beramai-ramai iaitu 15 orang.

"Perjalanan dari kampung ke pusat mengundi dekat saja, cuma dalam lima minit.

"Jam 7 pagi kami semua sudah tiba dan menunggu (di luar pusat mengundi) sebelum dibenarkan masuk untuk memilih YB (wakil rakyat).

“Kami tak mahu ketinggalan untuk memilih wakil rakyat terbaik untuk kami. Lagipun prosesnya mudah dan sekejap sahaja sudah selesai,” katanya semasa ditemui di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil.

Turut mengundi di situ ialah isteri dan dua anak Mohd Noorsham.

Suri rumah Radiah Sahari, 35, dari suku Jakun berkata dia keluar awal untuk ke pusat mengundi dengan menunggang motosikal dan kekal bersemangat walaupun ia merupakan kali ketiga dia menjalankan tanggungjawab itu.

“Saya kena datang untuk beri undi kepada Adun yang boleh bantu kami. Penting sebab kampung kami adalah satu-satunya kampung Orang Asli di sini. Kena pastikan kami pilih yang baik,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan persaingan antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dengan PN Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS