Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Na'imah akan lapor polis dakwaan Anwar arah siasat Daim
Diterbitkan:  Sep 29, 2024 6:14 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Na'imah Khalid, isteri kepada bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, akan membuat laporan polis esok berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan konspirasi berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suaminya.

Menurut satu undangan media yang dilihat oleh Malaysiakini, peguam Na'imah, Rajesh Nagarajan berkata pendedahan ini dibuat susulan laporan oleh Bloomberg pada 26 September, yang mendakwa wujud campur tangan politik dalam operasi SPRM.

Rajesh mengesahkan Na'imah akan membuat laporan itu selepas pendedahan artikel tersebut, yang memetik sumber tanpa nama mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan SPRM menyiasat Daim, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya.

“Laporan itu akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya,” katanya.

Artikel Bloomberg itu memetik sumber mendakwa Azam telah mengarahkan pegawai SPRM supaya mengelak menyiasat pembelian saham Farhash, yang didakwa atas arahan perdana menteri.

Sebagai respons terhadap dakwaan tersebut, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata pemimpin negara itu tidak penah mengeluarkan arahan dan menafikan sebarang campur tangan Anwar dalam siasatan SPRM

"SPRM beroperasi sebagai badan bebas dan bertindak berdasarkan aduan yang diterima,” kata PMO.

Januari lalu, Na’imah mengaku tidak bersalah atas tuduhan jenayah kerana didakwa gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya.

Wanita berusia 66 tahun itu didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut dengan memberi kenyataan bersumpah bertulis yang tidak mematuhi notis SPRM di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM.

Dituduh melakukan kesalahan itu antara 13 dan 14 Disember tahun lalu, dia mungkin berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000.

Aset yang didakwa tidak didedahkannya melibatkan beberapa lot tanah, hartanah dan kenderaan Mercedes-Benz.

Menurut lampiran yang disertakan bersama pertuduhan dan dibacakan di mahkamah, lapan hartanah yang didakwa terlibat antaranya Ilham Tower di Kuala Lumpur, sebuah rumah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, serta enam lot tanah - lima di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

Antara barangan lain yang didakwa tidak didedahkan melibatkan dua syarikat, iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd.

Daim, 86, juga berdepan tuduhan jenayah yang sama di mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS