Pemimpin DAP dan PKR puji titah TMJ tukar cuti ke Sabtu, Ahad
Pemimpin DAP dan PKR Johor memuji tindakan Pemangku Sultan Tunku Mahkota Ismail mengembalikan cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad.
Mereka berpendapat tindakan baginda--yang lebih dikenali sebagai TMJ--itu akan memberikan banyak faedah, terutamanya daripada sudut pertumbuhan ekonomi.
Anggota parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata perubahan itu mampu menarik lebih ramai pelaburan asing sebagai usaha negeri menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Baca: Johor kembali cuti Sabtu, Ahad mulai tahun depan
Apatah lagi, katanya, Johor merekodkan nilai dagangan RM753 bilion, bersamaan 29 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara, pada tahun 2023.
“Semoga urusan pentadbiran awam, swasta, persekolahan, serta pelbagai aspek lain bagi masyarakat Johor keseluruhannya berjalan lebih lancar selepas titah ini akhirnya dilaksanakan kelak,” katanya.
Katanya, tempoh masa yang diberikan sebelum pelaksanaan cuti hujung minggu baru itu amat berpatutan bagi jentera kerajaan dan swasta membuat penyelarasan agar pelaksanaannya lancar.
Tunku Mahkota Ismail tengah hari tadi mengumumkan cuti hujung minggu di negeri itu daripada Jumaat dan Sabtu ditukar kembali ke Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.
Baginda bertitah cadangan itu mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan mendapat pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Johor sebelum ini telah beberapa kali mengubah cuti hujung minggunya.
Negeri itu melaksanakan cuti Sabtu dan Ahad kali pertama pada tahun 1994 ketika Muhyiddin Yassin menjadi menteri besar.
Bagaimanapun pada 1 Jan 2014, Sultan Ibrahim "mengembalikan tradisi" dengan menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu sebagai penghormatan “penghulu segala hari” dan pengiktirafan terhadap agama Islam.

Sementara itu, anggota parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse berkata keputusan itu memudahkan urusan perniagaan terutamanya melibatkan syarikat yang berurusan dengan pihak di luar negeri Johor.
“Selain itu, titah ini juga memberikan banyak kelebihan kepada ibu bapa, kerana cuti sekolah akan diselaraskan dengan cuti hujung minggu, membolehkan keluarga meluangkan lebih banyak masa yang berkualiti bersama,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/3c5699136d0c5e475b3d2b8f9b096173.jpg)
