Bekas perdana menteri Najib Razak, Nooryana Najwa dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Perkara itu diumumkan Pengerusi Matrade Reezal Merican Naina Merican dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Menurut Reezal, surat pelantikan telah diserahkan semasa mesyuarat ahli lembaga pengarah semalam.
Namun, dia tidak menyatakan berapa lama pelantikan itu berkuat kuasa atau sebab pelantikan Nooryana.
Malaysiakini telah menghubungi Reezal dan Nooryana untuk butiran lanjut.
Dia berkata Nooryana melafazkan sumpah ikrar bebas rasuah bersama-sama dua lagi ahli lembaga pengarah, iaitu Hairil Yahri Yaacob dan Mastura Abdul Karim.
“Tahniah diucapkan kepada Nooryana atas lantikan sebagai ahli lembaga pengarah Matrade,” katanya.
Kelayakan antarabangsa
Nooryana, 36, berkelulusan ijazah sarjana muda Politik Antarabangsa dan Dasar Luar dari Universiti Georgetown di Amerika Syarikat.
Dia juga memiliki ijazah sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Wharton School of Business dan ijazah sarjana Pentadbiran Awam dari Harvard Kennedy School.
Selepas menyelesaikan pengajian peringkat sarjana muda, Nooryana menjalani latihan industri di firma ekuiti global TPG selama 11 bulan sebelum bekerja sebagai pengalisis di TPG Hong Kong.
Perkaitan dengan Leissner
Pada 2022, Nooryana yang juga exco Puteri Umno mendedahkan Tim Leissner, ahli perbankan yang berkaitan dengan skandal 1MDB, membantunya untuk mendapat latihan industri di TPG di mana dia antara lain ditugaskan untuk menyediakan pembentangan PowerPoint, fotostat dan membuat kopi.
Menurut Nooryana, dia bekerja dalam perhubungan pelabur bersama TPG Hong Kong selama satu setengah tahun sehingga Ogos 2014 sebelum menyambung pengajian.
Menurut profil LinkedIn, dia kembali ke Malaysia untuk berkhidmat selama lapan bulan di start-up di bawah Kementerian Kewangan, Cradle Fund seblum ke Wharton.
Ketika itu, Najib adalah Menteri Kewangan.
Bagaimanapun, profil LinkedIn Nooryana tidak memperincikan pengalaman kerjanya yang lain.
