Syed Shahir: Saya syaki mereka diperalatkan...
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Mohamud mengesyaki mereka yang menerajui penubuhan Pertubuhan Pekerja Islam Malaysia (PPIM) yang diluluskan pendaftaranya awal tahun ini telah diperalatkan, sepertimana yang pernah berlaku pada 1980-an.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Mohamud mengesyaki mereka yang menerajui penubuhan Pertubuhan Pekerja Islam Malaysia (PPIM) yang diluluskan pendaftaranya awal tahun ini telah diperalatkan, sepertimana yang pernah berlaku pada 1980-an.
"Saya syaki mereka diperalatkan...dulu pernah ada, pada tahun 1980-an Pertubuhah Buruh Malaysia (MLO) diwujudkan untuk menyaingi MTUC," katanya.
Bagaimanapun, tambah beliau, MLO akhirnya berkubur dan golongan yang menubuhkannya, kembali semula ke pangkuan MTUC.
Syed Shahir juga tidak menolak kemungkinan mereka yang menaja penubuhan PPIM itu terdiri daripada golongan yang kecewa kerana tidak mendapat tempat dalam MTUC.
"Kalau kalah buat benda ini (menubuhkan kesatuan)...itu tidak betul...saya kerap kalah, tapi saya tidak tubuhkan kesatuan (lain)," tambahnya.
Sebaliknya, kata beliau, golongan yang dianggapkan terpencil ini, seharusnya menggunakan gelanggang dalam MTUC untuk bertanding dan berusaha membawa kemajuan kepada pekerja.
Syed Shahir berkata, kewujudan banyak pertubuhan pekerja akan hanya membawa perpecahan dan tidak menguntungkan golongan pekerja.
'Gelanggang dalam MTUC'
PPIM yang diluluskan pendaftarannya pada 9 April lalu, ditubuhkan oleh sekumpulan pemimpin pekerja yang dikatakan tidak puas hati dengan pucuk pimpinan MTUC yang didakwa gagal membela kebajikan pekerja, khususnya yang beragama Islam.
Sebelum ini, beberapa ahli gabungan MTUC tidak puas hati dengan pendekatan Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamud (foto) dalam menangani isu tuntutan pelaksanaan gaji minima pekerja swasta.
Mereka menganggap sikap Syed Shahir cuba menimbulkan polimik atau pertentangan dengan kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia, menyebabkan perjuangan untuk membela nasib pekerja di sektor swasta, menjadi tidak berkesan.
Mengulas dakwaan bahawa MTUC gagal membela kebajikan pekerja Islam, Syed Shahir bertanya: "Tidak puas hati tentang apa...apakah bila kita perjuang soal naik taraf, naik gaji pekerja, melindungi pekerja, tidak sesuai dengan Islam?"
Menurutnya, golongan itu yang disifatkan 'hanya kelompok kecil' sepatutnya menggunakan gelanggang dalam MUTC untuk mengetengahkan rasa tidak puashati mereka itu untuk dicara jalan penyelesaiannya.
Mengenai dakwaan bahawa kepimpinan sekarang cuba menimbulkan polimik atau pertentangan dengan kerajaan, Syed Shahir berkata, dalam tempoh dua tahun lalu, beliau cuba menggunakan kaedah yang baik dan lunak.
"Dulu kita buat melalui perundingan, tapi saya tak nampak hasilnya. Apakah golongan yang bercakap ini sedar atau tidak bahawa apa yang lakukan, semuanya diputuskan dalam mesyuarat di semua peringkat - sidang perwakilan tiga tahun sekali, dalam majlis am, iaitu badan kedua tertinggi selepas sidang perwakilan, dan dalam jawatankuasa kerja kita.
"Ini bermakna semuanya dilakukan melalui perbincangan dan diputuskan bersama, dan kita laksanakan," tambahnya.

