Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata dia tidak akan terkejut jika PAS bekerjasama dengan DAP sekali lagi semata-mata untuk berkuasa.
Mengulas kenyataan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini yang berkata parti Islam itu akan bekerjasama dengan mana-mana parti demi kuasa, katanya PAS gelisah bila tidak lagi duduk dalam kerajaan.

“PAS sudah ada rekod mengeluarkan apa sahaja fatwa politik yang akan menghalalkan tindak tanduknya.
“PAS sudah lama prgmatik. PAS gelisah bila tidak lagi duduk dalam kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam satu temu bual baru-baru ini, Razaleigh berkata misi PAS yang berangan-angan untuk menghidupkan semula gabungan politik Muafakat Nasional (MN) adalah jelas untuk mendapatkan kuasa semula.
“PAS ini jika tiada perkara mereka boleh dapat untung, mereka tidak akan bersama dengan Umno. PAS mahu kekal berkuasa dan jika mereka fikir tiada peluang untuk kekal dalam pemerintahan negara, sudah nampak parti ini awal-awal lari daripada Umno.
“Lihat apabila kita tubuhkan MN dengan harapan parti dapat jalin secara bersama seperti gerakan perjuangan Islam, tetapi awal-awal lagi PAS sudah ‘lari’ dan mahu bekerjasama dengan Bersatu kerana sudah kecapi kuasa.

“PAS mahu semua asalkan boleh kecapi apa yang mereka mahu. Dahulu PAS dengan DAP kata akan masuk syurga. Sekarang PAS kata pula DAP kafir harbi. Jadi, PAS boleh bertukar pada bila-bila masa,” kata Razaleigh.
Sebelum ini, PAS, PKR dan DAP pernah bersama dalam pakatan Pakatan Rakyat yang kini sudah tidak lagi berfungsi. Mereka pernah menafikan BN majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 2008.
Bagaimanapun, pakatan itu runtuh pada 2015 disebabkan perbezaan pendapat antara DAP dan PAS dalam beberapa isu seperti pertukaran menteri besar Selangor berikutan pertukaran Abdul Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu, Puad berkata jika PAS mahukan kuasa segera, parti itu harus menyertai kerajaan Madani.
“Kalau mahu cepat, PAS boleh sahaja menyertai kerajaan Madani. Umno tidak akan membantah.
“Ia tidak akan mendatangkan kudis kepada Umno. Luka Bersatu akan tambah dalam,” katanya lagi.
